Kenal pasti laluan berisiko Lebuhraya Pan Borneo

No Image Caption
A
A
A

MIRI - Kementerian Kerja Raya telah mengarahkan kontraktor Lebuhraya Pan Borneo Sarawak untuk membuat penilaian risiko bagi mengenal pasti laluan yang berisiko mendap akibat faktor hujan sehingga menyukarkan pengguna jalan raya.

Menterinya, Baru Bian berkata, selain membuat penilaian risiko, kontraktor dalam Rakan Pelaksana Projek (PDP) dan Kontraktor Pakej Kerja (WPC) turut diarahkan untuk melaksanakan pelan pencegahan di kawasan-kawasan berisiko di Sarawak.

"Kementerian Kerja Raya akan memantau secara berkala bagi memastikan kerja-kerja pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak memenuhi spesifikasi dan aspek keselamatan yang ditetapkan,"katanya ketika sesi temu bual radio yang berlangsung di RTM Miri petang ini.

Beliau berkata, arahan tersebut susulan kejadian jalan mendap di jalan Bintulu-Tatau, antara jalan paling sibuk di laluan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, yang berlaku baru-baru ini.

Mengenai perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, beliau berkata, projek berkenaan kini berjalan lancar dengan kemajuan projek sebanyak 36 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2021.

Beliau berkata, untuk pakej melibatkan Bintulu iaitu persimpangan Bakun ke Sungai Tangap kini 34 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada Nov 2020 manakala dari Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link di Miri ianya kini siap 36 peratus dengan tempoh siap sepenuhnya pada Okt 2020.

Sementara itu dalam sidang media selepas sesi temu bual di radio RTM Miri, Baru berkata, Kementerian Kerja Raya telah meletakkan sasaran untuk melaksanakan projek jajaran Sarawak-Sabah tanpa melalui Brunei selewat-lewatnya pada awal 2020.

Beliau berkata, jarak laluan berkenaan di Sarawak dianggarkan lebih 300km melibatkan kawasan pedalaman Ulu Baram di Miri ke Limbang dan Long Semado di Lawas dengan kos pembinaan sedang dalam diteliti dan dibincang sekarang.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak melibatkan jarak sejauh 1,060km dengan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) bertindak sebagai PDP projek berkenaan.

Setakat ini 11 pakej projek telah diserahkan kepada kontraktor-kontraktor yang layak melibatkan antaranya pembinaan 115 jambatan, - Bernama