Kadar penginapan hotel di JB, Muar meningkat 80 peratus

Ramai ambil peluang melancong ke Johor susulan kebenaran rentas negeri pada 11 Oktober lepas. - Foto Bernama
Ramai ambil peluang melancong ke Johor susulan kebenaran rentas negeri pada 11 Oktober lepas. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kadar penginapan hotel di Johor Bahru dan Muar kini telah meningkat dengan purata 70 hingga 80 peratus susulan kebenaran rentas negeri pada 11 Oktober lepas.

Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keadaan sama turut berlaku di Desaru Coast dekat Kota Tinggi yang kadar penginapannya mencecah 65 peratus.

Katanya, setelah sekian lama industri pelancongan menyepi, kini bot-bot di Jeti Mersing juga kembali sibuk.

“Ramai yang mengambil peluang untuk melancong ke Johor setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umum kebenaran merentas negeri di seluruh Malaysia pada 11 Oktober lepas.

“Kini saya dimaklumkan bahawa pakej-pakej bagi aktiviti ‘island hopping’ di daerah Mersing juga hampir penuh hingga pertengahan bulan 11,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook rasmi beliau pada Rabu.

Beliau berkata, taman tema Legoland juga telah menyaksikan peningkatan pengunjung domestik berbanding sebelum pandemik Covid-19 bermula.

“Terima kasih warga Malaysia kerana menjadikan Johor sebagai destinasi percutian anda. Insya-ALLAH Johor akan sentiasa dibuka untuk menjadi destinasi yang selamat untuk anda dan keluarga anda,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: