X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Gesekan biola Endang Hyder tarik perhatian komposer Indonesia

Endang Hyder, anak kelahiran Kampar, Perak akan bekerjasama dengan komposer terkenal Indonesia bagi melahirkan album instrumental biola pertamanya.
A
A

IPOH - Lebih setahun sunyi tanpa sebarang undangan, pemain biola profesional, Ell Zain Hyder Zainuddin, 35, akhirnya menerima peluang untuk melebarkan karier muziknya ke Indonesia.

Dia yang lebih dikenali sebagai Endang Hyder akan bekerjasama dengan komposer terkenal negara itu bagi melahirkan single instrumental biola pertamanya.

Menurutnya, peluang itu dilihat sebagai satu permulaan baharu untuk dirinya kembali bernafas dalam industri itu.

"Lagu-lagu ini adalah karya asli hasil gubahan bersama komposer berkenaan sejak tahun 2017. Ia belum direalisasikan rakamannya hinggalah negara menghadapi Covid-19.

"Apabila keadaan pandemik makin reda, pihak sana telah melakukan persiapan untuk pembikinan album serta video muzik ini, maka, tiada alasan lagi untuk terus tangguh rakaman album.

"Saya akan terbang pada 25 Oktober ini dan tinggal di sana hampir sebulan. Saya bersyukur apabila segala urusan untuk ke negara itu telah dipermudahkan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Anak kelahiran Kampar itu berkata, dia belum boleh mendedahkan nama komposer terlibat dan ia merupakan satu kejutan buat peminat dan pengikutnya di laman sosial setelah album dilancarkan kelak.

Katanya, dia perlu kuatkan hati untuk meneruskan impiannya itu meskipun perlu meninggalkan tiga anaknya berusia 5, 7 dan 9 tahun kepada kedua ibu bapanya.

"Ibu sepatutnya perlu mendapatkan rawatan mata bulan ini terpaksa menjadualkan semula rawatan kerana mahukan impian saya ini tercapai.

"Segala keperluan harian selama pemergian saya telah disediakan. Namun, saya masih berusaha untuk mengumpul sedikit wang bagi perbelanjaan tambahan untuk keluarga nanti sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Endang berkata, dia berhasrat untuk mengumpul token dengan persembahan biola menerusi platform YouTube atau Twitter untuk keluarganya.

"Saya tidak mengharapkan sebarang kutipan dana kerana merasai pengalaman pihak yang 'menjual' kisah hidup saya tetapi duit itu tidak sampai ke tangan.

"Saya suka penonton gembira dengan persembahan saya dengan memberi token secara terus menerusi akaun tertera. Walaupun RM1 saya rasa sudah cukup dihargai," katanya.

Katanya, dia mengharapkan album baharunya itu akan dapat menarik pendengar negara ini serta Indonesia selain memerlukan sokongan masyarakat untuk terus melanggan dan menonton persembahannya di media sosial.

Endang merupakan ibu tunggal mula bermain biola sejak berusia 10 tahun pernah membuat persembahan di peringkat antarabangsa dan sering memuat naik persembahannya di YouTube dengan memainkan lagu-lagu saduran moden dan klasik popular.

Tahun lalu, kisahnya menjual salah satu biola kesayangan untuk membayar bil perubatan ayahnya yang kehilangan kedua belah kaki akibat diabetes tersiar di media sosial dan akhbar.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!