Trofi Peja 2021 tampil 27 pasukan wakili pelbagai kaum

Hafez Mubin (kiri) bersama Ahmad Sobree menunjukkan Piala Iringan Kejohanan Trofi Peja 2021 pada sidang akhbar di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh pada Selasa.
Hafez Mubin (kiri) bersama Ahmad Sobree menunjukkan Piala Iringan Kejohanan Trofi Peja 2021 pada sidang akhbar di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh pada Selasa.
A
A
A

SEBANYAK 27 pasukan mengesahkan tempat bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM10,000 dalam Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Trofi Peja 2021 Peringkat Parlimen Tambun.

Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan, Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, kejohanan Trofi Peja 2021 yang dianjurkan buat julung kali itu tercetus bagi mencungkil bakat pemain bola sepak khususnya dalam kawasan Parlimen Tambun yang diwakili Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, edisi kali ini menampilkan pasukan daripada pelbagai kaum, antaranya orang asli, Sikh, India, Cina dan Melayu yang akan berentap selama dua hari pada 23 dan 24 Oktober ini.

"Kita mahu menyemarakkan kembali aktiviti sukan dalam kalangan komuniti selepas sekian lama terhenti akibat pandemik Covid-19. Hasrat kita mahu setiap kampung dan taman perumahan di kawasan Parlimen ini menghantar wakil dalam kejohanan kali ini.

"Ini merupakan permulaan dan jika berjaya kita akan adakan untuk peringkat negeri sehingga kebangsaan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar kejohanan berkenaan di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh pada Selasa.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah pengarah kejohanan, Ahmad Sobree Abas.

Hafez Mubin berkata, juara kejohanan akan menerima wang tunai RM5,000 serta piala iringan dan medal, manakala naib juara akan menerima RM3,000 diikuti tempat ketiga dan keempat dengan masing-masing akan menerima hadiah RM2,000 dan RM1,000.

Ujarnya, kejohanan berkenaan akan melibatkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan setiap peserta perlu menjalani ujian kendiri Covid-19 sebelum bermain.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pada hari terakhir pertandingan, beberapa aktiviti sampingan turut diadakan; antaranya Fun Ride, senamrobik dan perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan pilihan Menteri Belia dan Sukan dengan pilihan artis tempatan.

Kejohanan tersebut akan diadakan secara liga pada pusingan pertama melibatkan lapan kumpulan, manakala pada pusingan kedua, pasukan yang layak akan bermain secara kalah singkir.

Antara pasukan yang terlibat ialah Chinese Chemor Club, DJR FC, Happy Tambun FC, Meru City FC, Belia Sungai Tapah, Briged Utara FC, Armada Chepor dan beberapa pasukan lain.

Menariknya, penyertaan daripada pasukan orang asli iaitu KBSB Chadak FC akan bersaing bersama-sama 26 pasukan lain.