27 terbunuh akibat banjir, tanah runtuh di Kerala

Petugas penyelamat membawa keluar mayat mangsa yang tertimbus akibat kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat di kampung Kokkayar di daerah Idukki di selatan negeri Kerala, India. - Foto Reuters
Petugas penyelamat membawa keluar mayat mangsa yang tertimbus akibat kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat di kampung Kokkayar di daerah Idukki di selatan negeri Kerala, India. - Foto Reuters
A
A
A

NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan ramai yang hilang dalam banjir dan tanah runtuh selepas hujan lebat melanda selatan negeri Kerala, India.

Banjir buruk itu menyebabkan kerosakan rumah, bangunan, jalan raya dan jambatan di negeri berkenaan.

Daerah paling teruk terjejas ialah Idukki dan Kottayam, menurut media tempatan.

Helikopter tentera India digunakan untuk menghantar bekalan bantuan dan menyelamat mangsa.

Angka kematian dijangka meningkat kerana berpuluh-puluh penduduk dilaporkan masih hilang.

"Kami sentiasa memantau keadaan di beberapa kawasan di Kerala berikutan hujan lebat dan banjir. Kerajaan pusat akan menyediakan semua sokongan yang mungkin untuk membantu mereka yang memerlukan," kata Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah pada Ahad.

Agensi bencana India telah mengerahkan pasukan penyelamatnya di beberapa daerah di selatan dan tengah Kerala.

Ketua Menteri Kerala, Datuk Pinarayi Vijayan meminta orang ramai bersedia untuk berpindah ke kem bantuan, kawasan tinggi atau lokasi yang lebih selamat jika diminta oleh pegawai kerajaan. Kira-kira 5,000 orang telah dipindahkan ke kem bantuan. - Bernama

Artikel Berkaitan: