Misi gegar bumi Mongolia

Skuad B-22 negara giat berlatih sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia minggu depan. -Foto FAM
Skuad B-22 negara giat berlatih sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia minggu depan. -Foto FAM
A
A
A

SKUAD Bawah 22 tahun (B-22) negara diharap dapat membuktikan kemampuan mereka untuk layak ke pusingan akhir apabila turun beraksi dalam Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia minggu depan.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, skuad kendalian Brad Maloney itu harus menampilkan rentak permainan terpuji biarpun dibarisi majoriti pemain bawah usia 20 tahun.

“Pada saya untuk pemain muda ini sudah tentu kita inginkan mereka mengecapi pengalaman kemenangan. Mereka kena tahu ini adalah masa terbaik untuk mencipta nama di persada sukan bola sepak antarabangsa.

“Mereka telah diberikan peluang terbaik untuk menyerlah di peringkat antarabangsa. Sama ada mampu atau tidak melakar keputusan positif atau layak ke pusingan seterusnya, saya tak berani nak cakap atau jangkakan.

“Cuma saya berharap mereka mampu memberikan aksi terbaik dalam tiga perlawanan di Mongolia nanti. Jika layak ke pusingan akhir, ia sudah tentu satu pencapaian yang membanggakan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini telah membuat keputusan untuk menghantar skuad B-20 ke Mongolia sebagai persediaan untuk menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Malah, FAM juga menyifatkan ia satu bonus buat barisan pemain muda negara jika layak ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan selepas didedahkan dengan kejohanan yang lebih berintensiti tinggi.

Selain 15 pemain bawah usia 20 tahun, Maloney turut memanggil beberapa pemain lebih senior termasuk Mukhairi Ajmal Mahadi, Hakimi Abdullah, Quentin Cheng dan Luqman Hakim Shamsudin yang menggalas cabaran skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Azlan memberitahu, keempat-empat pemain tersebut mempunyai kualiti yang diperlukan skuad muda negara dan perlu menjadi contoh terbaik kepada pemain lain di atas padang.

“Mungkin keempat-empat pemain ini mampu memberikan perbezaan ketika di atas padang dengan kualiti yang mereka ada. Tetapi paling penting, mereka perlu menjadi contoh terbaik kepada pemain muda.

“Kadang-kadang apabila mereka tahu mereka ini pemain senior, mereka jadi lebih malas nak bergerak dan nak tunggu bola sampai ke kaki. Ini situasi yang kita tidak mahu ada dalam pasukan,” jelasnya.

Pada kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2022, Malaysia diundi bersama Laos, Mongolia selaku tuan rumah dan Thailand dalam Kumpulan J dengan kesemua aksi akan berlangsung di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar dari 25 hingga 31 Oktober ini.