X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

69 lagi kematian akibat Covid-19, 11 kes BID

Jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 mencecah 28,062 atau kira-kira 1.2 peratus daripada keseluruhan 2,396,761 kes positif di Malaysia. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Angka harian kematian akibat jangkitan Covid-19 di negara ini terus kekal di bawah 100 apabila 69 kes direkodkan semalam.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW menunjukkan daripada jumlah itu, 11 kes membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Setakat semalam, jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 mencecah 28,062 atau kira-kira 1.2 peratus daripada keseluruhan 2,396,761 kes positif di Malaysia.

Jumlah keseluruhan kes BID pula meningkat kepada 5,666, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan korban akibat Covid-19.

Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) terus mencatat penurunan sejak awal September lalu.

Terdapat 676 kes aktif di ICU seluruh negara ketika ini, berbanding lebih 1,500 pada hujung Ogos lalu.

Ketika ini, kadar penggunaan ICU di hospital kerajaan seluruh negara ialah 61.7 peratus, namun dua negeri masih merekodkan kadar melebihi 70 peratus iaitu Perak (73.5 peratus) dan Sarawak (83.9 peratus).

Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan turut mencatat penurunan sejak dua bulan lalu, dengan mencatat 330 kes setakat semalam berbanding lebih 900 kes pada awal Ogos lalu.

Pada masa sama, kadar penggunaan katil hospital bagi kes Covid-19 di seluruh negara ialah 66.1 peratus dengan kesemua negeri merekodkan di bawah 80 peratus. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!