Kerjasama PN, BN boleh dipraktikkan pada PRN Melaka: Hamzah

Hamzah (tengah) bersama barisan pimpinan tertinggi parti dan parti komponen bergambar kenangan pada Majlis Pelancaran Gempur PN bagi kempen Pilihan Raya Negeri Melaka, pada Selasa. - Foto Bernama
Hamzah (tengah) bersama barisan pimpinan tertinggi parti dan parti komponen bergambar kenangan pada Majlis Pelancaran Gempur PN bagi kempen Pilihan Raya Negeri Melaka, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan boleh dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, oleh itu tidak timbul isu perpecahan antara PN dan BN di Melaka kerana kerjasama berkenaan sudah dibuktikan di peringkat pusat dan sudah tentu ia boleh dilakukan pada PRN Melaka pada 20 November ini.

''Maknanya di seluruh negara, kita boleh kerjasama. Tak timbul masalah perpecahan. Malah masa kini belum ada lagi mana-mana pemimpin PN yang buat pengumuman untuk ada perpecahan di kalangan semua pemimpin di negara kita...tak ada,'' katanya ketika sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Gempur Perikatan Nasional Melaka di sini pada Selasa.

Hadir sama Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, PN akan mengumumkan kerjasama bersama BN bagi menghadapi PRN Melaka dalam masa terdekat.

“Dalam masa terdekat, kita akan umumkan bagaimana kerjasama yang akan diadakan,” katanya.

Sementara itu Ahmad Samsuri berkata, Pas optimis kerjasama antara PN dan Muafakat Nasional (MN) yang terdiri daripada Pas dan UMNO dapat dicapai dan parti itu akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan memperkasa kerjasama bersama parti komponen lain dalam PN serta MN sebagai persiapan berdepan dengan PRN Melaka.

Ahmad Samsuri berkata, setiap parti komponen di dalam PN dan MN mempunyai peranan masing-masing dalam menentukan hala tuju perjalanan politik negara.

Artikel Berkaitan:

"Pas optimis kerjasama antara PN dan MN dapat dicapai... sebab itu tidak timbul isu Pas meminggirkan mana-mana parti dari PN atau MN,” katanya.

Beliau juga berkata, Pas di pelbagai peringkat sudah mengadakan beberapa siri pertemuan secara rasmi dan tidak rasmi bagi meneroka jalan ke arah kesefahaman yang lebih baik bersama kepimpinan Bersatu dan UMNO termasuk dari segi pembahagian kerusi.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah kerusi yang disasarkan Pas tidak dapat didedahkan kerana ia sebahagian daripada strategi parti itu bagi menghadapi PRN Melaka. - Bernama