Menang pilihan raya: Istilah 'merampas' tidak relevan

Jufitri Joha. Foto: SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR
Jufitri Joha. Foto: SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha menyifatkan, perkataan 'merampas' yang acap kali diungkapkan selepas sesebuah parti politik memperoleh kemenangan pada pilihan raya adalah tidak relevan.

Jelas Jufitri, ungkapan tersebut perlu diubah kerana ia tidak selari dan mencerminkan matlamat pilihan raya itu sendiri.

"Perlu diingatkan, pilihan raya bukan gelanggang 'permainan' perebutan kuasa sesama parti politik.

"Sebaliknya, ia merupakan platform untuk sesebuah parti memperjuangkan hak dan melunaskan tanggungjawab serta amanah terhadap rakyat," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Wacana Sinar Harian ke-92 berjudul 'Pengundi Muda: Kena Tipu Ke' di Dewan Karangkraf di sini.

Tambah Jufitri, bagi parti politik yang menang usah terus mengangkat tangan meraikan kemenangan sehingga melupakan janji-janji yang dibuat.

Sementara, pihak yang kalah pula jangan menunding jari kepada rakyat sebaliknya, ambil peluang tersebut untuk bermuhasabah diri dan memperbaiki kelemahan parti.

Turut serta dalam wacana tersebut ialah Naib Ketua UMNO, Shahril Hamdan dan Naib Ketua AMK Keadilan, Mohd Nazree Mohd Yunus manakala Personaliti Televisyen, Perunding Latihan dan Motivasi, Amin Idris pula bertindak selaku moderator program.

Artikel Berkaitan: