X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Perhilitan tangkap gajah liar masuk kampung

Perhilitan Terengganu menangkap seekor gajah liar yang dikesan memasuki kawasan Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit di Kuala Nerus, pada Selasa. - Foto ihsan Pembaca
A
A

KUALA NERUS - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menangkap seekor gajah liar yang dipercayai tersesat dan berkeliaran di kawasan Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, di sini, pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman berkata, gajah betina berusia lingkungan 10 tahun seberat dua tan itu disedari memasuki kawasan kampung itu kira-kira jam 6 pagi Selasa.

Beliau berkata, sebanyak lima buah kediaman di kampung berkenaan mengalami kerosakan kecil akibat dirempuh gajah berkenaan yang cuba melalui sekitar kawasan kediaman penduduk.

"Setakat ini saya dimaklumkan lima buah kediaman mengalami kerosakan seperti pagar dan kereta yang dirempuh ketika gajah berkenaan melalui kawasan terbabit.

"Kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang dilaporakan dan pihak Perhilitan segera bertindak untuk menangkap haiwan terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Bazlan berkata, pihak Perhilitan telah menjejaki haiwan itu sejak empat hari lalu sebelum haiwan berkenaan dikesan memasuki kampung berkenaan.

"Saya difahamkan pihak Perhilitan telah menjejaki haiwan ini sejak Jumaat lalu selepas ia dikesan berada di Sungai Lerek, sebelum ke Kampung Mak Jintan, Tepoh dan memasuki Kampung Pengkalan Atap hari ini.

"Haiwan ini kini berada dalam pengawasan pihak Perhilitan di sini sebelum gajah denak tiba untuk ia dipindahkan di lokasi lebih selamat," katanya.

Dalam pada itu, Bazlan meminta penduduk untuk tidak mendekati kawasan berkenaan atas faktor keselamatan.

"Gajah ini diberi ubat pelali ketika ditangkap pihak Perhilitan kira-kira jam 10 pagi tadi.

"Kita harap penduduk setempat terutama yang berada berhampiran kawasan ini untuk menjauhi kawasan ini supaya emosi gajah tidak terganggu dan proses pemindahan ke kawasan lebih selamat berjalan lancar," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!