X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Penularan Covid-19 negara terus catat trend penurunan

Laporan kes harian, jumlah kematian, kapasiti penggunaan katil dan ICU pesakit Covid-19 terus menunjukkan trend penurunan pada minggu epidemik (ME) ke-41,
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Laporan kes harian, jumlah kematian, kapasiti penggunaan katil dan unit rawatan rapi (ICU) pesakit Covid-19 terus menunjukkan trend penurunan pada minggu epidemik (ME) ke-41, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Selain itu, beliau berkata, sepanjang tempoh ME ke-41 iaitu 10 sehingga 16 Oktober, nilai kebolehjangkitan wabak atau RT juga kekal stabil sekitar 0.80 - 0.90.

Beliau berkata, perkembangan baik itu sejajar dengan peningkatan liputan vaksinasi Covid-19 di Malaysia di samping usaha pembukaan semula pelbagai sektor secara terancang melalui inisiatif pembukaan semula secara selamat yang lebih meyakinkan.

“Dalam tempoh itu, kes baharu Covid-19 menunjukkan penurunan 17.9 peratus iaitu daripada 63,722 kes (ME ke-40) kepada 52,321 kes (ME ke-41). Kes baharu bagi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Kuala Lumpur pula mulai menunjukkan trend mendatar.

“Purata kes aktif turun 21 peratus iaitu daripada 133,450 kes (ME ke-40) kepada 105,497 kes (ME ke-41), manakala kes kematian turun sebanyak 15.3 peratus iaitu daripada 700 kes (ME ke-40) kepada 593 kes (ME ke-41).

“Kes yang memerlukan rawatan di ICU turut menunjukkan penurunan 12 peratus iaitu 778 kes (ME ke-40) kepada 684 kes (ME ke-41), sementara kes yang memerlukan bantuan pernafasan turun 11.9 peratus iaitu 331 kes (ME ke-40) kepada 292 kes (ME ke-41),” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan wabak itu, pada Selasa.

Turut menunjukkan penurunan bagi tempoh sama ialah jumlah kluster Covid-19 dengan 83 kluster dilapor melibatkan 37 atau 44.6 peratus kluster tempat kerja; 25 (30.1 peratus) kluster komuniti; 10 (12.1 peratus) kluster pusat pendidikan; sembilan (10.8 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi dan masing-masing satu (1.2 peratus) kluster pusat tahanan dan satu kluster keagamaan.

Mengenai kapasiti penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan wad serta alat bantuan pernafasan menunjukkan trend penurunan sekitar satu hingga tiga peratus pada ME ke-41 berbanding ME ke-40.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kes baharu Covid-19 yang direkodkan setakat 12 tengah hari adalah 5,745, menjadikan kumulatif kes kini 2,401,866.

Menurutnya hanya 115 kes atau dua peratus daripada kes baharu itu adalah kategori tiga, empat dan lima manakala baki 5,630 atau 98 peratus adalah kategori satu dan dua.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 12 kes adalah kes import manakala 5,733 lagi merupakan kes tempatan,” katanya sambil memberitahu Malaysia turut merekodkan 8,933 kes sembuh dengan jumlah kumulatif adalah 2,287,888 kes.

Dr Noor Hisham berkata, 682 kes dirawat di ICU dengan 331 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan, selain sebanyak lapan kluster baharu dikenal pasti membabitkan tujuh kluster tempat kerja serta satu kluster pendidikan lain.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!