X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Skuad B-22 pertaruh sentuhan Luqman Hakim

Luqman Hakim berada dalam senarai 23 pemain skuad B-22 negara yang akan beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia minggu depan.
A
A

SKUAD Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan sah tidak diperkuatkan dengan kehadiran pemain muda meningkat naik Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia minggu depan.

Namun, skuad bimbingan Brad Maloney bakal mendapat sentuhan pemain berpangkalan di Jerman bersama kelab SGV Freiberg, Annil R Vigneswaran berdasarkan senarai akhir 23 pemain dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa.

Dalam senarai tersebut, Maloney turut mempertaruhkan empat pemain muda yang beraksi bersama skuad senior kebangsaan pada aksi persahabatan di Amman, Jordan baru-baru ini iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Quentin Cheng dan Mohamad Hakimi Abdullah.

Sementara itu, lima daripada sembilan pemain dari kem latihan pusat Fasa 2 skuad B-22 negara tidak berada dalam senarai akhir susulan kecederaan adalah Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri, Muhammad Firdaus Ramli, Muhamad Alif Abdul Mutalib, Chia Ruo Han dan K Thivandaran.

Empat pemain lagi yang tidak berjaya menempatkan diri dalam senarai akhir adalah Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, Muhammad Khairi Suffian Khaineyusri, Muhammad Aidil Azuan dan Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan.

Pada kempen kelayakan itu, Malaysia diundi bersama Laos, Mongolia selaku tuan rumah dan Thailand dalam Kumpulan J, dengan kesemua aksi akan berlangsung di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar dari 25 hingga 31 Oktober ini.

Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Oktober, Mongolia (28 Oktober) dan Thailand (31 Oktober) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!