UniSZA bangun aplikasi terapi digital bantu pengguna dadah

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sekumpulan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya membangun aplikasi telefon pintar Inabah Maya (V-Inabah) iaitu program terapi jiwa secara digital dan interaktif bagi membantu komuniti pengguna dadah di negara ini.

Ketua Projek V-Inabah, Profesor Dr Lua Pei Lin berkata, aplikasi itu adalah antara yang terawal di Malaysia menggunakan kaedah terapi jiwa, kerohanian dan keagamaan untuk membantu golongan tersebut mengatasi masalah ketagihan dadah.

"Projek rasmi bermula pada September tahun lepas dan kini dalam fasa akhir pengumpulan maklum balas daripada responden. Aplikasi ini turut menyediakan nota, video dan latihan yang sesuai untuk rawatan terapi emosi, psikologi dan keagamaan kepada penagih dadah.

"Perkembangan rawatan juga akan dipantau melalui aplikasi ini secara berterusan dan berdasarkan maklum balas awal 73 peserta, mereka sangat berpuas hati dengan modul terapi yang disediakan dalam aplikasi V-Inabah ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.