'Arwah ada cakap tak sabar nak mati sebab mahu ke syurga'

Faizal dan Siti Norra (tengah) ketika ditemui di rumah mereka dekat Bandar Perdana pada Selasa. (Kanan: Nur Airis membuat lukisan emotikon sedih di gambarnya meninggalkan kenangan buat keluarga.)
Faizal dan Siti Norra (tengah) ketika ditemui di rumah mereka dekat Bandar Perdana pada Selasa. (Kanan: Nur Airis membuat lukisan emotikon sedih di gambarnya meninggalkan kenangan buat keluarga.)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kanak-kanak perempuan yang maut terjatuh dari tingkat sembilan di sebuah hotel di Pulau Pinang pernah meluahkan keinginan mahu ke syurga.

Ibu mangsa, Siti Norra Salleh, 44, berkata, arwah Nur Airis Hafeera, 6, pernah menyatakan mahu ke syurga beberapa hari sebelum kejadian namun beranggapan ia hanya sekadar perbualan biasa.

"Arwah ada cakap tak sabar nak mati sebab nak ke syurga, saya tak sangka apa yang diluahkan itu menjadi kenyataan," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Bandar Perdana pada Selasa.

Menurutnya, anak bongsu dari empat beradik itu seorang yang penyayang kerana sayangkan kucing peliharaannya selain manja dengan ahli keluarga yang lain.

"Kami sedar arwah ada edit gambarnya dengan menambah emotikon sedih berkemungkinan menunjukkan rasa sedih memandangkan dia baharu kehilangan nenek, Fatimah Man, 81, yang sangat rapat dengannya, meninggal dunia akibat strok Jumaat lalu," katanya.

Sementara itu, suami Siti Norra, Faizal Husain, 44, berkata, kejadian itu berlaku sangat pantas tanpa sempat berbuat apa-apa.

Menceritakan kejadian itu, dia katanya, selepas menyedari kehilangan Nur Airis ketika berada di lif hotel, semua ahli keluarganya panik dan mula mencari Nur Airis Hafeera di kawasan tersebut.

"Bagaimanapun, dalam keadaan sibuk mencari, kami dikejutkan dengan keadaan Nur Airis Hafeera yang sudah tidak sedarkan diri dikatakan akibat terjatuh," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Faizal, ketika kejadian, mereka sekeluarga bermalam di hotel berkenaan sementara membuat persiapan mahu mendaftar anak sulung, Mohammad Nabil Najmi, 22, yang akan mendaftar ke Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Balik Pulau.

Beliau bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Jenazah Nur Airis selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa Ria, Sungai Petani kira-kira jam 11 pagi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak terjatuh dari tingkat sembilan di sebuah hotel tempat keluarga tersebut menginap.

Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi Isnin itu selepas kanak-kanak tersebut meluru masuk ke dalam lif ketika pintu terbuka tanpa sempat disertai ahli keluarganya apabila pintu tertutup dengan pantas.

Ahli keluarga mangsa kemudiannya dikatakan cuba mencari kanak-kanak itu sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri di lantai hotel dan dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh.