X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Pesara guru terima anugerah Tokoh Maulidur Rasul

Yassin
A
A

KUALA TERENGGANU - Pesara guru menerima anugerah sebagai Tokoh Maulidur Rasul sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu tahun ini.

Yassin Salleh, 79 dari Kampung Losong Panglima Perang, diumumkan menerima anugerah itu oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad sempena Pelancaran Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan secara dalam talian pada Isnin malam.

Tokoh Maulidur Rasul itu menerima hadiah wang tunai RM12,000, plak dan sijil penghargaan.

Yassin yang kini berkhidmat sebagai jurunikah berkata, beliau merakamkan penghargaan atas anugerah yang diterima dan berharap dapat terus berbakti serta mencurahkan ilmu kepada generasi akan datang.

"Saya bersyukur ke hadrat Ilahi atas anugerah yang diterima. Mudah-mudahan saya beramal, berpegang dengan ilmu dan amal sebagai amanah ALLAH SWT kepada saya untuk menyampaikan segala ilmu pengetahuan yang telah saya miliki.

"Saya juga berharap agar generasi akan datang serta untuk sentiasa berpegang teguh dengan agama ALLAH SWT dan melaksanakan perintah-Nya. Carilah ilmu pengetahuan agama khususnya untuk bekalan dunia dan akhirat," ujarnya ketika berucap secara dalam talian.

Yassin yang dilahirkan di Kampung Banggol Cempedak, Serada mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Serada dan menyambung pengajian peringkat menengah di Pondok Durian Guling, Marang.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Darul Uloom Deoband, Saharanpur Uttar Pradesh, India dalam bidang Syariah dan Undang-Undang pada 1962 hingga 1967.

Yassin turut menjadi rujukan masyarakat sekitar dalam pelbagai masalah antaranya melibatkan ilmu agama, perkahwinan, rumah tangga dan hubungan kejiranan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!