X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Tingkat harga lantai getah sekerap, elak pekebun kecil beralih tanaman

Mahdzir (dua, kiri) melihat Tuaran Crumb SMR Factury ketika melakukan lawatan di Kilang Getah SMR Tuaran, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

TUARAN - Cadangan meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram ketika ini kepada RM3.50 sekilogram akan dapat mengelakkan pekebun kecil getah beralih ke tanaman komoditi lain, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, sekiranya tiada tindakan menaikkan harga lantai itu dilakukan, pekebun kecil getah akan beralih ke tanaman komoditi lain yang mempunyai harga lebih tinggi terutama kelapa sawit, seterusnya menjadikan negara kehilangan pengeluar getah.

"Bila ada perbandingan antara harga getah dan kelapa sawit, banyak pekebun kecil telah pergi tanam kelapa sawit kerana harga getah itu (lebih rendah), sebab itu saya menyokong harga lantai getah dapat ditingkatkan.

"Walaupun ia agak sukar kita mesti mencari jalan, kalau tidak harga lantai itu rendah dan mereka akan beralih ke tanaman kelapa sawit," katanya kepada pemberita selepas melawat Kilang Getah SMR Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Tamparuli di sini pada Selasa.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim dan pembantu Menteri Kewangan, Sabah Jasni Daya.

Jumaat lepas, media melaporkan kerajaan diminta mempertimbangkan menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari tahun hadapan untuk membantu lebih ramai penoreh getah keluar daripada garis kemiskinan.

Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dilaporkan sebagai berkata, harga lantai getah sekerap RM2.50 sekilogram ketika ini jauh lebih rendah berbanding kelapa sawit yang mencecah RM1,100 setiap tan, sekali gus mewujudkan jurang yang besar antara pengusaha kebun getah dan kelapa sawit.

Mahdzir berkata, selain harga lantai, ruang lebih luas untuk menjual hasil getah dan meluaskan kawasan tanaman getah merupakan dua lagi perkara penting bagi membantu pekebun kecil getah di negara ini meningkatkan pengeluaran seterusnya meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

Beliau berkata LIGS, sebuah agensi Kerajaan negeri Sabah, memain peranan membantu 80,000 pekebun kecil getah di Sabah antara lain dengan memberikan tempat untuk menjual hasil getah dan pada masa ini LIGS mempunyai tiga kilang pemprosesan getah iaitu di Tamparuli, Tenom dan Beufort.

"Kilang di Tamparuli ini mempunyai 300 pekerja dan mereka punyai kapasiti memproses 150 tan getah sehari dan 50,000 tan setahun, selain untuk pasaran tempatan, hasilnya juga dieksport ke luar negara, antaranya China untuk pembuatan produk seperti tayar," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!