Perlis letak harapan tinggi Bajet 2022

Azlan
Azlan
A
A
A

KANGAR - Kerajaan negeri Perlis meletakkan harapan yang tinggi pada Bajet 2022 bagi membolehkan segala perancangan untuk pembangunan negeri dijayakan dengan berkesan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, Perlis telah mengemukakan beberapa permohonan kepada kerajaan Persekutuan terutama berkaitan projek pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Kita meletakkan dua harapan ini bagi memajukan negeri ini. Ada projek saiz besar, sederhana dan kecil dan berharap ia dapat diterima dan diluluskan mengikut pada pelan yang dirancang,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Beliau mengulas mengenai Bajet 2022 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini.

Menurut Azlan, beliau juga telah menyuarakan pandangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengenai perkara itu dalam satu pertemuan baru-baru ini.

“Beliau (Perdana Menteri) juga telah memberikan respons yang positif, malah beliau akan melihat dan memperincikan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Azlan sebelum itu melawat dan menyerahkan kunci rumah baharu di bawah projek bina baharu rumah di bawah kerajaan negeri kepada Sharifah Abu Bakar, 46, yang tinggal di Kampung Nesam dekat sini. - Bernama

Artikel Berkaitan: