Perak beri RM2,000 kepada pengusaha kraf

Saarani menandatangani plak Lawatan Mesra Usahawan Perak di Miker Pizza, di sini pada Selasa.
Saarani menandatangani plak Lawatan Mesra Usahawan Perak di Miker Pizza, di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengumumkan pemberian secara sekali bayar berjumlah RM2,000 kepada usahawan kraftangan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Bantuan Perak Sejahtera Usahawan Kraftangan Perak itu membabitkan seramai 91 pengusaha di seluruh negeri dengan jumlah keseluruhan RM182,000.

Menurutnya, penerima bantuan ini membabitkan mereka yang belum menerima sebarang bentuk bantuan dari mana-mana agensi sebelum ini.

"Bantuan one-off berjumlah RM2,000 ini diharap dapat membantu usahawan kraf terlibat bangkit kembali dalam perniagaan mereka.

"Kerajaan negeri akan terus mencari jalan untuk memperkasakan golongan usahawan khususnya dalam membantu mereka membina semula perniagaan selepas pandemik Covid-19," katanya kepada pemberita selepas program Lawatan Mesra Usahawan Perak di Miker Pizza pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan beberapa ketua jabatan.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, pihaknya juga sedang mempertimbangkan bantuan kepada pengusaha butik perkahwinan yang terjejas dan pihaknya telah memperoleh laporan mengenai masalah yang dihadapi golongan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau telah meminta supaya semua agensi negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri menggunakan produk-produk usahawan Perak sebagai cenderahati rasmi agensi dan GLC masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keputusan itu dibuat sebagai salah satu tanda sokongan kerajaan negeri kepada produk usahawan Perak.

"Dalam hal ini Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) akan menyelaras senarai produk-produk ini untuk diberikan kepada agensi-agensi dan GLC.

"Moga usaha ini dapat membantu mempergiatkan promosi produk keluaran usahawan Perak," katanya.