Projek batal: Kerja tanam semula hutan sedang dilaksanakan

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang sudah menandatangani perjanjian penghutanan semula bersama sebuah syarikat swasta pada 25 Mac lalu untuk memulihkan tapak projek Empangan Hidroelektrik Tekai Tembeling, Jerantut yang dibatalkan pada tahun 2019.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, kerja-kerja penanaman semula tumbuhan hutan sedang giat dilaksanakan.

Beliau berkata, ia bukti komitmen kerajaan negeri untuk pemuliharaan hutan selepas pembinaan empangan tersebut dibatalkan.

"Kelulusan kerajaan negeri berhubung pembinaan projek ini diperoleh pada 19 Mac 2012. Ini diikuti dengan kelulusan teknikal daripada Suruhanjaya Tenaga pada 2 Julai 2012, kelulusan Detailed Environmental Impact Assessment (DEIA) pada 20 April 2016 dan kelulusan Environmental Management Plan (EMP) pada 27 Disember 2016.

"Saya dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembalakan untuk penyediaan projek ini telah dimulakan seawal tahun 2014. Kerja-kerja ini dilakukan secara berperingkat dan sehingga tahun 2019, seluas 9,896.29 hektar telah diusahasil bagi projek pembinaan empangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan laporan sebuah portal tempatan pada Isnin berhubung kemusnahan hutan secara besar-besaran di Hutan Simpan Tekai.

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, Projek Empangan Hidroelektrik Tekai Tembeling dibatalkan oleh kerajaan Persekutuan pada 8 November 2019.

Beliau berkata, pemakluman kepada Suruhanjaya Tenaga berhubung pembatalan itu telah dihantar pada 29 November 2019.

Artikel Berkaitan:

"Ingin ditegaskan bahawa pembatalan projek daripada kerajaan Persekutuan ini adalah selepas lima tahun kerja-kerja persediaan pembinaan empangan dijalankan. Semestinya kerja-kerja ini meninggalkan kesan seperti yang digambarkan," jelas beliau.

Mohd Sharkar bagaimanapun berkata, kerajaan negeri mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan pihak-pihak terlibat dalam memastikan kelestarian alam sekitar di negeri Pahang.