X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Jaga adab ketika sampaikan dakwah di media sosial: Jakim

Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kewujudan pelbagai medium semasa khususnya media sosial, memberi impak positif dalam merancakkan program keilmuan dan dakwah, namun semua pihak termasuk asatizah (guru atau penceramah agama) perlu menjaga adab dan disiplin ilmu sebaik mungkin.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti melampau, hendaklah dielakkan dan ilmu yang hendak disampaikan perlulah melihat kepada realiti semasa dan keupayaan intelek masyarakat awam, agar ia tidak menimbulkan polemik berpanjangan.

“Perkara ini bagi mengelakkan fitnah yang boleh mencemar kesucian agama dan umat Islam itu sendiri.

“Para asatizah yang menyampaikan ilmu dan dakwah disaran mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah daripada pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Meskipun tugas tersebut merupakan suatu amalan yang mulia, namun semua pihak diingatkan untuk mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Abdul Aziz berkata, Jakim juga ingin menasihati masyarakat khususnya umat Islam, agar mendapatkan ilmu daripada para ilmuan yang diiktiraf dan mempunyai kelayakan dalam bidang ilmu yang disampaikan.

“Sekiranya ragu-ragu atau kurang jelas mengenai sesuatu perkara, silalah merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Mufti.

“Jakim memohon kerjasama dan sokongan daripada semua pihak untuk sama-sama menjaga keharmonian Keluarga Malaysia yang sekian lama terpelihara. Bibit-bibit persengketaan, api kebencian dan perpecahan hendaklah dielakkan, kerana ia merupakan perkara yang jelas dilarang oleh agama Islam,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, lanjutan itu Jakim akan mengadakan ‘Multaqa Daie Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad’ pada 28 Oktober ini di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

“Program yang menghimpunkan para asatizah dalam negara ini bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan mengeratkan hubungan antara ulama dan umara ke arah Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!