Madad pusat sehenti dakwah

Mohammad Yaakub dalam Sinar Live bertajuk ‘Paksa Diri Jadi Baik’ yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar di Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Mohammad Yaakub dalam Sinar Live bertajuk ‘Paksa Diri Jadi Baik’ yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar di Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Komuniti Islam Murtadha Dakwah Centre (Madad) membina pembangunan bersepadunya bagi fasa kedua di kawasan yang dirancang di Kedah untuk memberi kemudahan kepada penghuninya.

Sumbangan dana sebanyak RM7 juta diperlukan bagi tujuan pembangunan Madad melibatkan pembinaan masjid 24 jam dengan fasiliti hotel kapsul, pusat pengurusan jenazah, pusat tahfiz, stadium e-sports dan pelbagai lagi.

Pengarah Urusannya, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusoff berkata, pihaknya membuka peluang kepada masyarakat untuk turut serta memberi sumbangan bagi mempercepatkan proses pembinaan fasiliti dalam pusat komuniti berkenaan.

Menurutnya, pembinaan Madad fasa pertama sebelum ini hanya menggunakan peruntukan yang sedia ada dan tidak bergantung kepada sumbangan dana seperti mana yang dilakukan dalam fasa kedua.

“Apabila berlakunya permintaan terlalu tinggi, kami tidak boleh menunggu duit sendiri. Kami perlukan kutipan dana dan ia terbuka kepada sesiapa juga yang mahu menyumbang,” katanya pada program Sinar Live bertajuk ‘Paksa Diri Jadi Baik’ yang disiarkan secara langsung pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohammad Yaakub berkata, dana berkenaan mendapat sambutan yang agak baik meskipun kutipannya masih belum mencukupi.

“Bagi menjadikan Madad ataupun mana-mana pusat komuniti sebagai sebahagian daripada nadi dan nyawa kita, sumbangan orang ramai setiap bulan sangat diperlukan tidak kira berapa pun jumlah dan nilainya.

“Jika tidak boleh menyumbang, saya berharap ada yang boleh membantu untuk menyebarkannya kepada orang ramai,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Masjid 24 jam

Bercakap tentang pembinaan masjid yang beroperasi untuk 24 jam, Mohammad Yaakub berkata, masjid itu akan turut dilengkapi dengan kemudahan penginapan berbentuk hotel kapsul.

Jelasnya, konsep hotel kapsul di dalam masjid bertujuan memberi ruang untuk orang ramai berehat dan tidur selepas memandu jauh.

“Kami cuba sediakan kemudahan untuk kegunaan orang ramai rehatkan diri selepas memandu. Sekarang ini masjid ditutup dan dibuka untuk waktu tertentu sahaja. Jadi, kami cuba lakukan dan lihat hasilnya.

“Jika ada kebaikan, mudah-mudahan masjid lain pun boleh ikut serta sediakan fasiliti hotel kapsul ini,” jelasnya.

Selain pengoperasian masjid 24 jam, masjid itu turut merangkumi pusat pengurusan jenazah.

Katanya, sehingga kini pihaknya telah pun menguruskan beratus jenazah secara percuma.

“Kami cadangkan pengurusan yang lebih teratur termasuk tempat untuk menyimpan jenazah yang tidak dituntut.

“Di setiap hospital memang banyak jenazah yang tidak dituntut sama ada warisnya tidak mampu, tidak ada waris atau waris berada di luar negara.

Mohammad Yaakub Yusra
Mohammad Yaakub Yusra

“Kita memerlukan satu tempat yang boleh memberikan perkhidmatan secara percuma dan menguruskan jenazah secara percuma. Tidak semua orang mampu menguruskan jenazah,” katanya.

Sementara itu, pembinaan stadium e-sports sebagai fasiliti dalam fasa kedua Madad dilihat sebagai satu langkah mendekatkan golongan belia dengan institusi masjid.

Katanya, statistik data daripada e-sports negara ini menunjukkan seramai 6 juta remaja terlibat dalam permainan elektronik.

Konsep stadium e-sports dalam kawasan masjid memberi peluang untuk mendekati golongan remaja dengan cara yang lebih baik.

“Pada masa yang sama, kita boleh menasihati mereka dengan menetapkan peraturan. Sebagai contoh, 15 minit sebelum masuk waktu solat ruang stadium dan internet akan ditutup.

“Selepas mereka selesai tunai solat mereka boleh sambung semula aktiviti e-sport,” katanya yang turut berhasrat menyediakan hospitaliti kepada golongan warga emas yang ditinggalkan dan diabaikan.

Dalam pada itu, sekurang-kurangya 150 slot untuk kemasukan pelajar bagi tahfiz perempuan turut ditambah menjelang pertengahan tahun 2022.

Pada tahun ini, pihaknya menerima lebih daripada 3,700 permohonan untuk mendaftar masuk ke Madad dan 1,700 pelajar tahfiz.

“Agak ralat apabila sebelum ini kami hanya boleh terima 35 permohonan kemasukan. Jadi, pada pertengahan tahun 2022 kami sasarkan sekurang-kurangnya 150 slot untuk kemasukan pelajar,” katanya.

Melengkapi pembinaan Madad, masjid yang dibangunkan itu turut menyediakan taska bagi mengawasi kanak-kanak apabila ibu bapa mereka bersolat.

Tambahnya, taska berkenaan berfungsi untuk memupuk kecintaan kanak-kanak dengan masjid supaya mereka bukan sahaja berasa selesa malah selamat berada di situ.

“Dalam situasi pandemik Covid-19 ini, kanak-kanak dan remaja semakin jauh dengan masjid. Cara untuk dekatkan mereka dengan masjid adalah dengan penyediaan fasaliti yang sesuai untuk usia mereka. Di sini mereka boleh datang pada bila-bila masa,” tambahnya.

Info

HOTLINE: 014-601 9090/ 014- 601 9494

AKAUN MAYBANK: 5520 5980 7117

WEBSITE: WWW.MADADCENTRE.COM

FACEBOOK: MOHAMMAD YAAKUB YUSRA MURTADHA DAKWAH CENTRE

INSTAGRAM: @YAAKUBYUSRA & @DARULMURTADHA