X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Bajet 2022: Pulau Pinang harap cadangan tujuh projek diluluskan

Tengku Zafrul (kiri) menyertai sesi libat urus yang turut dihadiri Kon Yeow (kanan) di Pejabat Ketua Menteri di Georgetown pada 9 Oktober lalu.
A
A

GEORGETOWN- Pulau Pinang berharap agar cadangan tujuh projek infrastruktur utama melibatkan pelbagai industri yang dibentangkan kepada Kementerian Kewangan (MoF) pada minggu lalu akan dimasukkan dalam Bajet 2022.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tujuh projek infrastruktur utama tersebut adalah pembinaan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak yang dihuni oleh kira-kira 3,000 penduduk, rancangan tebatan banjir (RTB) kawasan perindustrian Perai dan pembinaan Jambatan Sungai Tengah yang menghubungkan Bandar Cassia ke Byram dan Changkat.

Selain itu, katanya, ia juga melibatkan pembinaan laluan basikal mesra alam di sepanjang persisiran pantai Jalan Batu Feringghi, projek naik taraf Stadium Batu Kawan, mewujudkan Butterworth Creative Centre dan menaik taraf kemudahan peralatan di dalam makmal bagi PSDC German Dual Vocational Training (GDVT)-Malaysian Meister Program (MMP) Level 1.

"Kesemua ini kita bentangkan kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sesi taklimat ketika program jelajah beliau ke Pulau Pinang sempena penyediaan Belanjawan 2022 pada minggu lalu.

"Kita berharap ia akan dimasukkan ke dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pertemuan di Pejabat Ketua Menteri pada 9 Oktober lalu, Tengku Zafrul turut melakukan kunjungan hormat ke atas Kon Yeow selama 15 minit sebelum menyertai sesi taklimat tersebut.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Dr Mohamad Farazi Johari.

Kon Yeow berkata, tujuh projek yang dibentangkan itu melibatkan peruntukan kewangan berjumlah kira-kira RM0.5 bilion.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada delegasi Kementerian Kewangan kerana mengadakan sesi libat urus bersama-sama dengan negeri-negeri terpilih bagi mendengar pandangan dalam penyediaan Bajet 2022.

"Pelaksanaan sesi libat urus atau perbincangan seperti ini dilihat amat baik untuk memastikan agenda pembangunan negeri adalah selari dengan agenda pembangunan negara.

"Selain itu, ia turut dapat memastikan dasar-dasar serta perancangan kerajaan Pusat dilaksanakan dengan teliti menerusi penglibatan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!