X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Pengetua maahad dinobat Tokoh Utama Maulidur Rasul Kedah

Mohamad Zaki dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul 1443H/2021M.
A
A

ALOR SETAR - Pengetua Maahad Dini Sultan Abdul Halim, Mohamad Zaki Husin dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul 1443H/2021M.

Anugerah itu diperkenankan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sempena Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1443H/2021M Peringkat Negeri Kedah pada Selasa.

Pengumuman secara dalam talian disiarkan menerusi laman Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Dakwah JAIK, Kerajaan Negeri Kedah dan Warta Kedah.

Mohamad Zaki, 63, berasal dari Kampung Banggol Besi, Pendang bertugas secara kontrak dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah sebagai Pengetua Maahad Dini Sultan Abdul Halim.

Beliau yang mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah Pendang, Maktab Mahmud Alor Setar, Kolej Islam Klang, Maktab Perguruan Islam dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini turut menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Masjid Sultanah Haminah Tanjung Radin.

Mohamad Zaki pernah menjawat jawatan guru penolong kanan dan kaunselor di beberapa sekolah sekitar Kedah termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim dan SMK Gulau.

Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Dakwah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan Atase Pendidikan Kedutaan Malaysia, Washington DC, AS sekitar tahun 2005 hingga 2007.

Beliau juga merupakan bekas Penolong Pengarah Pembangunan Syiar JPN Kedah dan Ketua Sektor Pendidikan Islam JPN Kedah selama empat tahun sejak 2014 hingga 2018.

Beliau turut terlibat sebagai Pengurus Projek Surau Imarah Sekolah Kementerian Pendidikan Sekolah (2013) serta Ketua Panel Negeri Pengambilan Guru Tahfiz Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (2016).

Penerima anugerah tokoh utama Maulidur Rasul Kedah ini juga pernah menerima pelbagai anugerah termasuklah anugerah Kaunselor Cemerlang JPN Kedah (1999), Anugerah Pegawai 5 Bintang JPN Kedah 2001 dan Anugerah Ikon Ummah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2013.

Sementara itu, enam tokoh menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul iaitu Hakim Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Ahmad Salleh bagi kategori guru takmir dan Bendahari Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Negeri Kedah, Annysha Chong Abdullah (kategori mualaf).

Turut menerima anugerah, Pakar Perubatan Keluarga Hospital Kulim, Dr Shakirah Ismail (kategori kesihatan) dan Pengarah Institut Kecemerlangan Baitulmaqdis (IEIJS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Meor Muhammad Afiff Aiman Abu Bakar (kategori orang kelainan upaya).

Selain itu, Imam Masjid Lutfi Hampar, Othman Azumi Ahmad (kategori imam), Timbalan Yang Dipertua Majlis Muafakat PIBK Daerah Kota Setar, Abdul Rahim Mat Sam (kategori badan bukan kerajaan) dan Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Suhaidi Sujak (kategori sukarelawan).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!