Perompak kedai emas ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Polis berjaya menahan seorang suspek dalam tempoh 24 jam selepas berlaku kejadian pecah masuk kedai emas di Kompleks Sri Putra, Seberang Jalan Putra di sini pada Isnin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Raja di sini kira-kira jam 6.45 petang hasil maklumat risikan dan siasatan selepas menerima aduan pemilik kedai.

Beliau berkata, penahanan suspek membawa kepada rampasan pelbagai barang kes termasuk 16 utas rantai tangan dan kaki warna perak dan kuning keemasan serta 52 cincin pelbagai bentuk dan warna.

"Turut dirampas ialah 65 utas rantai leher warna perak dan hitam, 15 rantai 'bangle', satu bekas plastik mengandungi 25 set batu cincin, seutas gelang tangan Jade dan sebuah beg warna biru gelap.

"Melalui semakan, suspek didapati memiliki 17 rekod kesalahan lampau di atas pelbagai kesalahan jenayah dan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, suspek boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan pertuduhan," katanya.

Artikel Berkaitan: