X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Pembinaan masjid terapung di Pulau Besar mula tahun hadapan

Mohd Ali (empat dari kiri) sambil diperhatikan Sulaiman (tiga dari kiri) dan Che Sukri (kiri) menyempurnakan pelancaran Tabung Saham Wakaf Pembinaan Masjid Pulau Besar sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Auditorium Masjid Al-Azim di Bukit Palah, Melaka pada Selasa.
A
A

MELAKA - Kerja-kerja pembinaan masjid terapung berbentuk cengkerang di Pulau Besar di sini dijangka bermula awal tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, masjid yang akan dibangunkan menggunakan material aluminium itu dianggarkan menelan kos sebanyak RM30 juta.

Menurutnya, reka bentuk unik itu secara tidak langsung akan menjadi salah satu tarikan pelancong dan paling penting bagi membangunkan syiar Islam.

"Setakat ini kita berjaya mengumpulkan dana hampir RM200,000 melalui tabung saham wakaf masjid yang dilancarkan.

"Setakat ini proses pembinaan masjid masih dalam mesyuarat dan keluasan masijd pula akan mampu menampung seramai 1,500 jemaah," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Tabung Saham Wakaf Pembinaan Masjid Pulau Besar sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Auditorium Masjid Al-Azim di Bukit Palah di sini pada Selasa.

Reka bentuk masjid terapung di Pulau Besar, Melaka seperti cengkerang akan dibina tahun hadapan.
Reka bentuk masjid terapung di Pulau Besar, Melaka seperti cengkerang akan dibina tahun hadapan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Hadir sama ialah Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts Kamel Mohamad.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga akan membantu usaha itu selain menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan supaya hasrat untuk merealisasikan masjid itu terlaksana tidak lama lagi.

Pada Mei tahun lalu, Sinar Harian menyiarkan laporan bahawa Pulau Besar yang sering dikaitkan 'pulau keramat' akan bertukar wajah menerusi projek pembangunan Pusat Tamadun Islam.

Che Sukri pada ketika itu berkata, pusat itu akan dilengkapi dengan sebuah masjid terapung.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!