'Kita jalin, kukuhkan kembali perpaduan pulihkan negara'

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak semua pihak berganding bahu untuk memulihkan negara dalam mengharungi krisis berkembar ekonomi dan kesihatan yang mencabar ketika ini sebagai Keluarga Malaysia.

Menurutnya, apa jua perbezaan perlu dijadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan, manakala sebarang persamaan harus dijadikan sebagai sumber kekuatan.

"Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang serta toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.

"Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat, pemimpin masyarakat, pemimpin agama atau pemimpin politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Sesungguhnya kemuliaan umat Islam, bahkan jatuh bangun sesebuah bangsa serta negara adalah terletak kepada kesatuan dan kesepaduannya.

"Jangan kerana kita berbeza pendapat, berlainan wadah atau cara pendekatan, menyebabkan hilang nilai ukhuwah dan semangat perpaduan yang sekian lama terjalin," katanya dalam perutusan khas sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2021 yang disiar secara langsung di stesen televisyen tempatan pada Selasa.

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini mengangkat tema Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti iaitu membawa rakyat kepada norma hidup yang menekankan prinsip Dasar Manhaj Rabbani iaitu Rahmat, Aman, Bertuhan, Bakti, Adil, dan Insani.

Kesemua nilai itu juga selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan mengenai tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran di samping 20 nilai lain seperti amalan ihsan, beriman, kasih sayang dan bermusyawarah.

Artikel Berkaitan: