Arsenal lepaskan peluang baham Palace

Mikel Arteta
Mikel Arteta
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan pasukannya melepaskan peluang berharga untuk meraih tiga mata penuh selepas hanya mampu seri 2-2 dengan Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates pada awal pagi Selasa.

Menurut Arteta, dia memuji persembahan cemerlang yang dilakukan para pemainnya pada awal perlawanan, namun kecewa kerana tidak dapat mempertahankan jaringan yang dilakukan oleh Pierre-Emerick Aubameyang dan membiarkan lawan meledak dua gol.

Malah, dia juga mengakui Arsenal terpaksa bergelut sebelum dapat menjaringkan gol penyamaan menerusi pemain gantian Alexandre Lacazette di penghujung babak kedua.

"Kami bermula dengan baik, sangat dominan dan tajam di depan gol. Banyak peluang dicipta dan ancaman ke gawang lawan.

"Namun, selepas gol (Aubameyang), kami tidak dapat mengekalkan rentak permainan. Kami tidak mempunyai ketenangan atau kawalan. Pemain seperti hilang fokus dan kami terpaksa bertahan.

"Kami bermula lebih baik pada babak kedua dan mempunyai lebih banyak penguasaan bola, tetapi kami melepaskan dua gol mudah kepada lawan," katanya.

Dalam perlawanan itu, Aubameyang terlebih dahulu meletakkan Arsenal di hadapan seawal minit kelapan sebelum Christian Benteke meledak gol penyamaan pada minit ke-50 dan Odsonne Edouard pada minit ke-73.

The Gunners terpaksa mengharapkan kepada Lacazette yang dimasukkan pada separuh masa kedua untuk meledak gol penyamaan sebelum perlawanan tamat.

Artikel Berkaitan:

"Pemain simpanan yang dimasukkan menunjukkan persembahan yang baik dan kami mempunyai peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol. Kami gagal menyudahkan beberapa peluang walaupun lawan sudah mula hilang punca di penghujung perlawanan.

"Kemasukan Alexandre Lacazette memberikan beberapa impak positif. Dia menaikkan motivasi pemain dan berjaya menjaringkan gol. Perkara baik pada hari ini adalah kami terus bergerak ke hadapan. Itu caranya kami mendapatkan mata.

"Saya kecewa dengan keputusan ini, kami melepaskan peluang berharga. Namun, apabila anda menjaringkan gol penyamaan pada lewat perlawanan, ia lebih baik daripada kalah," katanya.