Peniaga kereta terpakai rugi RM158,800 ditipu 'orang tengah'

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga kereta terpakai mendakwa kerugian RM158,800 akibat ditipu 'orang tengah' dalam urusan pembelian lapan kenderaan terpakai pada Mei tahun lalu.

Mangsa berusia 32 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading di sini pada Isnin selepas kereta yang dipesan gagal diterimanya hingga kini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mengenali suspek berusia 35 tahun melalui seorang kawannya pada Mei tahun lalu untuk urusan pembelian kereta tersebut.

Menurutnya, suspek bersetuju menjadi orang tengah mencari kereta untuk mangsa.

"Suspek berjanji membekalkan lapan kereta iaitu tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish, dua kereta jenis Perodua Myvi, sebuah Honda Stream, Toyota Altis dan Vios pada harga keseluruhan RM158,800.

"Mangsa setuju dengan harga ditawarkan dan membuat bayaran melalui akaun bank syarikat ke akaun bank suspek dengan 12 transaksi bayaran dalam tempoh Jun hingga awal Ogos tahun lalu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Wazir berkata, mangsa syak ditipu apabila suspek menghilangkan diri dan gagal dihubungi sejak September tahun lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: