Tambun bukan milik mana-mana parti PH

Abdul Aziz
Abdul Aziz
A
A
A

IPOH - Kerusi Parlimen Tambun belum rasmi menjadi milik parti komponen Pakatan Harapan (PH) memandangkan ia kerusi yang ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, belum ada keputusan rasmi mengenai pemilik kerusi Parlimen Tambun setakat ini kerana penyandangnya keluar dari PH.

Menurutnya, kerusi Parlimen bukan di bawah bidang kuasa pimpinan negeri tetapi hasrat bertanding di Tambun telah dimaklumkan kepada pimpinan tertinggi PH.

"Setahu saya, belum ada mana-mana parti PH yang bergerak di Parlimen Tambun sejak saya mula bekerja pada Ogos 2020.

"Gerak kerja yang dilaksanakan banyak tertumpu pada aktiviti menyantuni rakyat setempat selain bertemu pemimpin akar umbi," katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Aziz berkata, pengalaman sebagai Exco Kerajaan Negeri sebelum ini selain Ketua Pembangkang memberi kelebihan untuknya bekerja di kawasan Parlimen tersebut.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu, perkhidmatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada juga membantu melancarkan gerak kerja di kerusi Parlimen Tambun.

Menurutnya, perbincangan mengenai persiapan pilihan raya untuk kerusi negeri telah dilakukan secara tidak rasmi dengan Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebagai ketua pembangkang, beliau sentiasa berhubung dengan PH Perak.

"Apapun, sebagai ketua pembangkang, saya akan bantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengekalkan kerusi mereka.

"Penting PH menang kerusi yang cukup untuk bentuk kerajaan dan saya akan bertanding dengan logo PH," katanya.

Pada 15 Oktober lalu, PKR Perak menjelaskan sebarang rundingan mengenai kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam komponen PH perlu dibincangkan secara dalaman bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan pengundi dan penyokong.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran susulan tindakan Abdul Aziz mengumumkan hasrat secara terbuka mahu bertanding di kerusi Parlimen Tambun.

Kerusi Parlimen Tambun disandang Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.