X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Cheng Hoe masih mahu bereksperimen

Cheng Hoe
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu terus bereksperimen dengan memanggil beberapa pemain baharu bagi menghadapi perlawanan persahabatan pada masa akan datang.

Cheng Hoe berkata, beliau tidak serik untuk terus menguji pemain sekalipun tindakannya memanggil muka baharu menyaksikan Harimau Malaya dibelasah Jordan dan Uzbekistan dalam aksi persahabatan baru-baru ini.

“Kalau pemain baharu ada bakat dan kita tak bagi peluang, macam mana mereka nak dapat bermain untuk pasukan negara.

"Memanglah pemain baharu ini dalam perlawanan pendedahan, kadang-kadang kita tidak dapat keputusan yang kita nak.

“Itu sebab kita buat perlawanan persahabatan atau ujian untuk kesemua pemain. Jadi, saya akan teruskan untuk memanggil pemain baharu dalam mempersiapkan mereka untuk menyarung jersi pasukan negara,” katanya kepada Sukan Sinar.

Pada perlawanan persahabatan di Amman, Jordan baru-baru ini, Cheng Hoe membuat keputusan memanggil beberapa pemain baharu, antaranya Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Mohamad Hakimi Abdullah, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun.

Malah, Cheng Hoe turut memanggil semula beberapa pemain senior yang pernah menyarung jersi skuad Harimau Malaya sebelum ini termasuk kapten Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar.

Namun, usaha Cheng Hoe untuk memberikan pendedahan kepada beberapa pemain baharu tidak diterima sepenuhnya penyokong Harimau Malaya selepas melihat Harimau Malaya tewas 0-4 kepada Jordan sebelum dibelasah Uzbekistan 5-1.

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga memberikan bayangan skuad seimbang dengan gandingan pemain muda dan senior akan menjadi taruhan dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura pada Disember nanti.

“Kita masih lagi menilai pemain-pemain dalam Piala Malaysia nanti dan pemain yang bersama kita dalam perlawanan persahabatan tempoh hari.

“Namun, dalam pertandingan atau kejohanan kita perlukan keseimbangan dalam pasukan. Kita perlukan barisan yang terbaik juga jika hendak capai sasaran dalam kejohanan ini.

“Ini yang sedang kami fikirkan, namun sudah tentu kami turut akan memberikan peluang kepada pemain muda jika mereka menyerlah dalam saingan Piala Malaysia untuk dibawa ke Singapura,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!