Berakhir stres mak, nenek ‘ajar’ PdPR

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PERALIHAN Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sesebuah negeri sememangnya dinantikan oleh semua rakyat Malaysia.

Ia berikutan lebih banyak sektor akan dapat dibuka dan rakyat mendapat kebebasan walaupun masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Penulis percaya antara pembukaan sektor yang amat dinanti-nantikan oleh ibu bapa adalah pendidikan.

Mana tidaknya, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara, anak-anak tidak boleh lagi belajar di sekolah dan terpaksa menjalani Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Berikutan Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka akan memasuki Fasa 4 PPN, maka sekolah akan mula dibuka sepenuhnya di negeri itu mulai 8 November depan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, biarpun Fasa 4 PPN di negeri itu berkuat kuasa hari ini, pengoperasian institusi pendidikan di negeri terbabit berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 1 November ini.

Pada tarikh itu, katanya, ia membabitkan kemasukan bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) sekolah rendah serta murid Tingkatan Tiga dan Empat sekolah menengah.

Sementara kehadiran murid Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua sekolah menengah bagi negeri Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur serta Putrajaya akan bermula pada 8 November.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu sedikit sebanyak amat melegakan ibu bapa di Lembah Klang terutama yang mempunyai anak di Tahap Satu.

Mungkin bagi pelajar sekolah menengah tidak menghadapi masalah namun bagi murid sekolah rendah terutama Tahun 1, mereka agak sukar untuk memberi fokus dan mengendalikan sesi PdPR itu secara sendirian.

Maklumlah, baru sahaja bersekolah selama beberapa bulan, kawan dan cikgu pun baru nak kenal, tiba-tiba terpaksa pula belajar sendirian di rumah berikutan pelaksanaan PKP di seluruh negara.

Maka ibu bapa atau penjaga terpaksa mengambil alih tugas guru ‘mengajar’ dalam sesi PdPR.

Bagi penulis yang terpaksa bekerja dan mempunyai anak di Tahun 1, diakui ia agak mencabar kerana perlu membahagikan masa untuk memberi tumpuan pada kerja hakiki dan kerja sekolah anak.

Namun penulis bernasib baik kerana ada ibu yang sudi membantu mengendalikan anak ketika sesi PdPR.

Tetapi kadang-kala dengar juga keluhan beliau ketika membantu mengajar cucu terutama untuk mata pelajaran Pendidikan Seni.

Nenek pula yang terpaksa membantu menggunting dan mewarna lukisan. Sayangkan cucu punya pasal, nenek pula ‘kembali’ buat kerja sekolah.

Jadi dengan pengumuman pembukaan sekolah semula, bukan sahaja ibu bapa, nenek juga lega bila cucu boleh kembali belajar di sekolah.

Hilang satu beban ‘mengajar’ di rumah selepas beberapa bulan terpaksa jadi ‘cikgu’.

Dari sudut lain pula, pembukaan sekolah juga mungkin dapat melegakan golongan tidak berkemampuan yang sebelum ini terpaksa berkongsi telefon dalam memastikan anak-anak boleh menjalani sesi PdPR walaupun secara bergilir-gilir.

Pilihan

Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga juga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

Seperti yang dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada September lalu, ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin tetapi ibu bapa perlu menulis surat kepada sekolah mengenai perkara itu.

“Tidak akan ada surat amaran akan diberikan, tetapi ibu bapa hanya perlu menjelaskan mengenai ketidakhadiran itu.

"Perkara itu akan diguna pakai hingga penghujung sesi persekolahan tahun ini," kata beliau.

Apa-apa pun pilihan di tangan kita sebagai ibu bapa untuk membenarkan anak kembali ke sekolah atau tidak berikutan pandemik Covid-19 yang masih belum reda walaupun terkawal.

Jika ibu bapa mengambil keputusan untuk menghantar anak ke sekolah, pastikan mereka tahu untuk menjaga diri dan SOP walaupun teruja bertemu semula kawan-kawan dan cikgu.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Penyunting Sinar Harian