X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Keputusan kembalikan jawatan PTD didakwa perlekeh kerajaan kekal

Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Seorang pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang dipecat selepas didakwa membuat kenyataan memperlekeh kerajaan dalam hantaran di laman Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak empat tahun lepas, kembali mengisi jawatannya sebelum ini.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas menolak permohonan kerajaan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengembalikan Nazrul Imran Mohd Nor ke jawatannya.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf memutuskan bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan perayu (kerajaan dan SPA) tidak memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk membolehkan mahkamah memberikan kebenaran untuk merayu.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Peguam Surendra Ananth, yang mewakili Nazrul Imran, ketika dihubungi pemberita mengesahkan keputusan itu yang dibuat pada prosiding dikendalikan secara dalam talian.

"Permohonan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan tanpa kos," katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang hadir bagi pihak perayu, turut mengesahkan perkara itu.

Nazrul Imran bertugas sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Malaysia di Manila ketika insiden itu didakwa berlaku.

Beliau yang berkhidmat sebagai pegawai PTD selama lapan tahun telah diarahkan pulang ke Malaysia selepas didakwa membuat kenyataan itu pada 11 Januari 2017 susulan kematian mengejut Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

SPA yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu telah mengeluarkan surat tunjuk sebab memecat Nazrul pada 13 Februari 2017 kerana didakwa melanggar Peraturan 19(1)(b) dan 4(2)(d) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Pada 12 Mei 2017, Nazrul Imran memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap SPA dan kerajaan bagi mencabar pemecatannya atas alasan kenyataan itu tidak ditujukan kepada kerajaan dan tidak menjatuhkan reputasi kerajaan sebagaimana yang dimaksudkan dalam Peraturan tersebut.

Nazrul Imran turut mendakwa penggunaan Peraturan itu oleh SPA telah menyekat hak asasi beliau di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan pemecatannya adalah tidak wajar serta tidak rasional.

Bagaimanapun, pada Mei 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan semakan kehakiman Nazrul Imran.

Beliau kemudian merayu terhadap keputusan itu dan pada 26 November 2020, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya dan mengarahkan SPA agar mengembalikan Nazrul Imran ke jawatannya sebelum ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!