PRN Melaka: Pembahagian kerusi Pas selepas bincang dengan UMNO, Bersatu

Datuk Kamarudin Sidek
Datuk Kamarudin Sidek
A
A
A

MELAKA - Pembahagian kerusi melibatkan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu lagi selepas perbincangan antara parti itu dengan UMNO dan Bersatu.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, perbincangan yang akan diuruskan oleh Jawatankuasa Teknikal Pas Pusat itu bertujuan mengelak berlaku pertembungan lebih daripada dua penjuru sekali gus merugikan semua parti komponen yang bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

"Pas berada dalam MN dan PN yang terdapat juga UMNO dan Bersatu... hubungan kerjasama antara parti komponen terlibat masih terjalin. Jadi isu pembahagian kerusi bagi PRN Melaka perlu membabitkan semua parti terlibat.

"Kita akui terdapat laluan sukar dan mudah di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun misi utama kita ialah pertandingan dua penjuru di setiap kerusi bagi memudahkan laluan kita untuk menghadapi Pakatan Harapan (PH)," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Kamarudin berkata, menerusi perbincangan itu, setiap parti dijangka mengemukakan calon masing-masing dan keputusan akan dibuat secara bersama bagi memilih calon terbaik untuk bertanding di setiap kerusi.

Beliau berkata, sekiranya perbincangan menemui jalan buntu, Pas tidak teragak-agak untuk bergerak sendiri dan meletakkan calon di kerusi yang turut ditandingi UMNO dan Bersatu meskipun terpaksa berdepan saingan tiga penjuru.

Kamarudin, yang merupakan calon Pas bagi kerusi Duyong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan tewas kepada Damian Baba Yoe daripada DAP, berkata beliau sedia kembali bertanding di kawasan itu pada PRN kali ini jika dipersetujui UMNO dan Bersatu.

Pas Melaka bertanding di 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada PRU14 lepas.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh persediaan Pas bagi menghadapi PRN Melaka, beliau berkata, jentera parti itu telah bersiap siaga dalam semua aspek dan semua bilik gerakan telah dibuka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pada Isnin mengumumkan 20 November sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka manakala 8 November bagi penamaan calon dan undi awal 16 November.

Pada 4 Oktober lepas, SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 daripada Speaker Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) hilang majoriti. - Bernama