Tanah kuil: Tan Sri dilepaskan, anak dilanjutkan reman

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang Tan Sri yang direman bagi membantu siasatan berhubung pembangunan sebidang tanah dimiliki Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur, dibebaskan daripada tahanan tersebut.

Majistret, Noraisyah Mohd Yusuf membuat keputusan itu selepas menolak permohonan lanjutan tahanan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan SPRM untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap dua individu, termasuk anak Tan Sri itu yang bergelar Datuk selama sehari bermula hari ini.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 kerana meminta atau menerima rasuah.

Mereka sebelum ini direman selama tiga hari bermula Selasa lalu berhubung kes tersebut.

Pada Isnin lalu, SPRM menyerbu rumah Tan Sri, yang berusia 75 tahun itu dan merampas wang tunai lebih RM1 juta, beberapa barangan kemas dan jam berjenama yang jumlahnya belum dapat dipastikan.

Selain itu, SPRM turut menggeledah pejabat pengurusan kuil di Batu Caves, pada awal pagi Selasa.

Kuil yang terletak di Jalan Bandar itu merupakan yang tertua di Kuala Lumpur dan diuruskan oleh Lembaga Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam.

Artikel Berkaitan:

Lembaga berkenaan turut menguruskan Kuil Batu Malai Sri Subramaniar di Batu Caves dan Kuil Kortumalai Vinayagar di Persiaran Maybank.

Pada 27 May 2018, ahli politik PKR, G Manivannan menggesa SPRM menyiasat pengurusan kuil tersebut yang didakwa menyeleweng dana kerajaan dan orang ramai.

Dakwanya, gaya hidup yang mewah, pengumpulan harta benda yang tidak munasabah, kediktatoran dalam pengurusan kuil tersebut adalah alasan yang kukuh untuk suruhanjaya itu melakukan siasatan secara terperinci.

Sebelum itu, media melaporkan 20 NGO Hindu menggesa audit penuh dijalankan ke atas akaun jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam bagi tempoh sejak 20 tahun lalu oleh sebuah jawatankuasa pilihan khas Parlimen selepas mendapati jawatankuasa itu tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.