Penjawat awam boleh ditamatkan perkhidmatan jika enggan divaksin

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas 1 November ini boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Perkara itu dinyatakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut pekeliling tersebut, pegawai yang tidak boleh melengkapkan vaksin Covid-19 atas sebab kesihatan bagaimanapun boleh dikecualikan daripada arahan tersebut, hanya selepas membuat pemeriksaan kesihatan dan disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar.

Pegawai yang tidak tidak boleh menerima vaksin Covid-19 atas faktor kesihatan itu bagaimanapun perlu membuat ujian pengesanan dengan kosnya ditanggung oleh kerajaan.

“Pegawai adalah bertanggungjawab untuk mendapatkan dos imunisasi Covid-19 yang lengkap sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Ini bertujuan untuk memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti perkhidmatan awam berada pada tahap optimum,” menurut pekeliling tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Pekeliling itu turut menyatakan bahawa penjawat awam tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan selaras dengan Fasal (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan terikat dengan Surat Aku Janji yang ditandatangani apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam Persekutuan di bawah subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan 2012.

Menurut JPA, subperaturan 20(8) P.U. (A) 1/2012 turut memberi kuasa kepada ketua jabatan untuk mengarahkan mana-mana pegawai yang sedang berkhidmat untuk mengemukakan maklumat kesihatan bahawa pegawai tersebut telah mendapatkan dos imunisasi Covid-19 lengkap.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, Pekeliling Perkhidmatan ini dikeluarkan selaras dengan subperaturan 62(2) P.U. (A) yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk mengeluarkan panduan bagi menjelaskan pelaksanaan dasar ini,” katanya.