Jambatan kedua Sungai Air Tawar-Hutan Melintang siap Mei 2025

Izham (tengah) pada sesi taklimat pembinaan jambatan kedua menghubungkan Sungai Air Tawar Selangor ke Hutan Melintang Perak di Kampung Dato' Hormat, pada Isnin.
Izham (tengah) pada sesi taklimat pembinaan jambatan kedua menghubungkan Sungai Air Tawar Selangor ke Hutan Melintang Perak di Kampung Dato' Hormat, pada Isnin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Jambatan kedua menghubungkan Sungai Air Tawar, Selangor ke Hutan Melintang, Perak dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2025.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, jambatan merentasi Sungai Bernam sepanjang dua kilometer itu mampu memendekkan tempoh perjalanan sejauh 40 kilometer bagi penduduk sekitar kawasan berhampiran.

Menurutnya, projek yang dijangka bermula tahun depan itu secara tidak langsung memberi kemudahan kepada penduduk setempat.

"Jika sebelum ini penduduk sekitar Sungai Air Tawar terpaksa melalui jambatan utama di Sabak Bernam yang mengambil masa lama untuk ke Hutan Melintang tetapi mereka hanya memerlukan 10 minit sahaja untuk sampai ke sana (Hutan Melintang) jika jambatan kedua siap sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi taklimat pembinaan jambatan kedua menghubungkan Sungai Air Tawar Selangor ke Hutan Melintang Perak di Kampung Dato' Hormat di sini pada Isnin.

Izham memberitahu, pembinaan jambatan yang diluluskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu juga dapat mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

"Apabila WCE siap sudah tentu jambatan utama menjadi sesak dan pembinaan jambatan kedua menjadi pilihan kepada pengguna jalan raya bagi mengelakkan kesesakan.

"Jambatan itu dibina setinggi 36 meter kerana ada keperluan kapal atau bot yang melaluinya selain air pasang besar," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga yakin kemudahan ini menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi penduduk dengan menghubungkan antara dua negeri," jelas beliau.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga sedang merangka pelan pembangunan di kawasan sekitar termasuk menyediakan keperluan logistik di kawasan Sabak Bernam.

"Kita juga merancang membangunkan kawasan Sungai Air Tawar sebagai pusat logistik dan stor simpanan barang seperti di Pelabuhan Klang jika jambatan itu siap sepenuhnya," jelasnya.