'Phuket Sandbox' pelopori pembukaan semula pelancongan Thailand

Pelakon Hollywood, Russell Crowe adalah antara pelancong antarabangsa yang memasuki Thailand melalui 'Phuket Sandbox'. - Foto AFP
Pelakon Hollywood, Russell Crowe adalah antara pelancong antarabangsa yang memasuki Thailand melalui 'Phuket Sandbox'. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Pelakon Hollywood, Russell Crowe adalah antara pelancong antarabangsa yang memasuki Thailand melalui 'Phuket Sandbox'.

Bintang Gladiator yang dipercayai akan menjalani penggambaran sebuah filem perang 'The Greatest Beer Run Ever' itu berkongsi dengan 2.7 juta pengikutnya di Twitter mengenai pengalamannya sepanjang tinggal di pulau peranginan berkenaan sejak September lepas.

"Kerajaan Thailand melaksanakan langkah yang dinamakan Kuarantin Sandbox. Oleh itu, jika anda telah lama dikurung, dan ingin menikmati kebebasan itu, kita sudah ada tarikh pembukaan sempadan," ciapnya.

Thailand memperkenalkan inisiatif 'Phuket Sandbox' pada 1 Julai, hanya pelancong yang lengkap divaksin dan ujian RT-PCR negatif sebelum memasuki negara itu perlu menjalani kuarantin 14 hari.

Mereka harus tinggal di pulau itu selama dua minggu sebelum melancong ke wilayah lain dalam negara berkenaan.

Pada 15 Oktober, Phuket telah menyambut ketibaan lebih 48,000 pelancong antarabangsa, menghasilkan lebih 2 bilion baht pendapatan di bawah 'Phuket Sandbox'. Menerima 850,140 tempahan penginapan di hotel yang diluluskan oleh Safety and Health Administration (SHA) Plus dari Julai hingga Februari 2022.

Menurut Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Israel, Jerman dan Perancis menjadi sumber pelancong antarabangsa terbesar ke Phuket setakat ini.

Namun, media tempatan mendakwa 'Phuket Sandbox' kurang sambutan apabila gagal mencapai sasaran 100,000 kedatangan pelancong dalam tiga bulan pertama, seperti ditetapkan Kementerian Pelancongan dan Sukan.

Artikel Berkaitan:

Jadi, adakah 'Phuket Sandbox' gagal? Tidak sama sekali!

"Inisiatif Sandbox telah menjadi projek pembukaan bagi industri pelancongan dan perhotelan di Phuket. Ini adalah langkah pertama untuk pembukaan semula," kata Pengarah Pembangunan Persatuan Hotel Phuket, Sumi Soorian.

Menurutnya meskipun 'Phuket Sandbox' mungkin kurang sambutan namun, ia telah membuka semula ruang kepada kemasukan pelancong ke pulau peranginan berkenaan.

"Jumlah ketibaan pelancong sangat ramai bagi kami. Ia telah mewujudkan pekerjaan dan pendapatan untuk perniagaan. Itu adalah langkah awal meskipun ia tidak seperti yang kita harapkan, tetapi ini sebagai permulaan. Angka kedatangan pelancong semakin meningkat. Kami melihat hasil yang positif,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya, sektor pelancongan telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan positif dengan banyak hotel kembali beroperasi sementara syarikat penerbangan menyambung semula penerbangan dan ramai yang telah mendapat pekerjaan.

"Ini petanda ekonomi yang sihat. Kami melihat lebih banyak peluang pekerjaan kembali ke pasaran. Prospeknya kelihatan positif. Mungkin tidak secepat yang kita inginkan tetapi ia akan dicapai dengan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan tetap menjadi keutamaan kita,” katanya.

Sumi berkata, jumlah kedatangan pelancong di bawah inisiatif sandbox telah meningkat secara beransur-ansur terutama menjelang cuti akhir tahun dan cuti musim sejuk.

Pelonggaran sekatan perjalanan juga menjadikan Phuket sebagai destinasi menarik untuk percutian selepas Covid-19.

Mulai 1 Oktober, pelancong dan pengembara yang mengunjungi Phuket, Surat Thani, Phang-Nga dan Krabi melalui program sandbox hanya perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari sebelum dapat melancong ke kawasan lain di Thailand.

"Kami gembira dapat kembali menjalan perniagaan terutamanya pada musim sejuk dan cuti Krismas yang akan datang. Kami menjangkakan dapat melihat lonjakan kedatangan pelancong dari United Kingdom.

"Selain itu, kami gembira melihat lebih banyak penerbangan antarabangsa kembali beroperasi. Ini akan mewujudkan permintaan dan penawaran untuk pelancong antarabangsa datang ke Phuket.

"Oleh itu, kami berharap jumlahnya meningkat ke 3,000 sehari atau mungkin 100,000 sebulan untuk November dan Disember," katanya.

Pada masa ini, Phuket menyambut purata 400 pelancong sehari.

Selain Phuket Sandbox, Thailand juga memperkenalkan pelbagai langkah untuk menarik pengunjung ke negara itu termasuk melanjutkan Visa Pelancong Khas (STV) yang membenarkan pengunjung tinggal 90 hari hingga 270 hari atau sembilan bulan dan memendekkan proses dokumentasi perjalanan bagi pengunjung yang masuk ke negara itu. - Bernama