Wujud ejen risik awam salur maklumat salah laku pencemaran

Noor Nirwandy
Noor Nirwandy
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa dicadangkan supaya mewujudkan ejen perisikan awam untuk menyalurkan maklumat mengenai perlakuan tidak bertanggungjawab yang mencemarkan kawasan awam dan pusat peranginan dengan sampah sarap.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, maklumat tersebut boleh disalurkan dalam bentuk imej ataupun video yang menunjukkan perbuatan si pelaku.

Katanya, isu longgokan sampah di kawasan tertentu termasuk di pusat peranginan merupakan ancaman keselamatan persekitaran yang tidak boleh dibiarkan tanpa pendekatan lebih strategik.

“Ia jelas menjejaskan imej negara dan memperlihatkan peradaban kemanusiaan rakyat di negara ini.

“Tindakan perang saraf yang kolektif perlu dirancang dan dillaksanakan secara bersama bagi membendung ancaman keselamatan persekitaran dalam jangka masa pendek dan panjang dengan kempen kesedaran yang lebih menarik,” katanya pada Isnin.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada Isnin memaklumkan bahawa pihaknya telah mengkaji dan mencadangkan beberapa pindaan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (fasa satu) untuk dipertimbangkan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, antara cadangan pindaan dalam fasa satu ialah mewujudkan hukuman mandatori penjara tidak melebihi lima tahun terutama bagi kesalahan pencemaran air dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Pindaan berkenaan turut melibatkan cadangan untuk mewujudkan denda minimum tidak kurang RM5,000 dan denda maksimum tidak lebih RM10 juta.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata, keselamatan persekitaran adalah aspek keselamatan kemanusiaan global yang perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat serta kerajaan bagi memastikan imej negara tidak terjejas.

Menurutnya, langkah membendung perlakuan tidak bertanggungjawab itu juga dapat memastikan persekitaran negara dapat dilindungi daripada kesan negatif yang diakibatkan oleh pencemaran sampah sarap.