Dua rakan didakwa bunuh warga Kemboja

Nasri (depan, kanan) dan Mohd Faiza Akma (dua dari kiri) dikawal polis ketika dibawa ke kamar Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Isnin.
Nasri (depan, kanan) dan Mohd Faiza Akma (dua dari kiri) dikawal polis ketika dibawa ke kamar Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Dua rakan lelaki termasuk seorang warga Kemboja berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Kemboja pada 3 Oktober lalu.

Tertuduh warga Kemboja, Nasri Roza, 29, yang merupakan seorang tukang rumah dan pencanting batik warga tempatan, Mohd Faiza Akma Md Noor, 36, didakwa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat telah membunuh Sovann Arozak, 40.

Kesalahan bunuh itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Mustapha, Kampung Penambang di sini antara jam 9.30 malam hingga 10 malam, pada 3 Oktober 2021

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama yang membolehkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sharifah Amirda Shasha tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua mereka dan memohon tarikh untuk laporan forensik.

Artikel Berkaitan:

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Januari tahun hadapan untuk sebutan semula kes.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang buruh binaan warga Kemboja dipukul hingga mati oleh rakan senegaranya akibat perselisihan faham tentang bayaran upah membaiki sebuah tandas.

Mangsa cedera pada kepala dipercayai akibat objek tumpul dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Pada prosiding yang sama, Nasri turut didakwa pada pertuduhan berada di Malaysia tanpa sebarang pas masuk yang sah bertempat di hadapan kedai runcit di Bukit Marak di sini pada jam 11.20 pagi, 5 Oktober 2021.

Tertuduh mengaku atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta maksimum enam sebatan.

Mahkamah menetapkan 25 November depan sebagai tarikh jatuh hukuman bagi pertuduhan di bawah akta imigresen berkenaan.