Angkat imej kakitangan PBT

Adly
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri akan melaksanakan penyeragaman uniform anggota penguatkuasa (PBT) negeri ini bertepatan dengan komited kerajaan untuk mengangkat kakitangan PBT sebagai pihak yang menjadi kerajaan ketiga.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, langkah untuk membuat tranfsormasi berkenaan daripada pakaian seragam berwarna biru gelap kepada biru muda itu bagi memantapkan lagi perkhidmatan PBT kepada masyarakat.

Menurutnya, ia selari dengan kod warna yang ditetapkan badan penguatkuasa antarabangsa dan usaha itu telah mula diperkenalkan di beberapa PBT lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PBT di Johor.

Katanya, antara faktor penukaran warna seragam bagi menggelakkan kekeliruan orang awam memandangkan warna ketika ini turut digunakan pada uniform pihak berkuasa lain seperti anggota polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan sebagainya.

"Semua PBT di Melaka akan terlibat dengan penyeragaman warna uniform dan akan dibezakan oleh logo jabatan sahaja bagi menggelakkan kekeliruan.

"Kita sedang membuat beberapa dasar termasuk, kajian kos dan perlaksanaan proses tender terhadap penyeragaman warna itu," katanya.

Adly berkata demikian ketika sidang media majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Adly yang juga Adun Bukit Katil berkata, pembaharuan yang dilakukan itu diyakini akan menonjolkan imej baru penguatkuasa PBT sekali gus mewujudkan imej yang tersendiri dalam penyeragaman uniform dikalangan agensi-agensi penguatkuasa di Malaysia.

"Setakat ini tada pertambahan kos melibatkan penukaran warna itu kerana ia menggunakan bajet tahunan sedia ada," katanya.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri yang pernah mewar-warkan mengenai program 'Rumah Peduli' menawarkan untuk memberi peluang kepada golongan yang kurang bernasib baik dan tidak memiliki rumah mahupun tanah sendiri untuk mempunyai kemudahan itu yang boleh dibina atas tanah kerajaan.

"Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) akan menyediakan bayaran deposit utiliti bagi penerima rumah berkenaan dan setakat ini kita menerima lebih 70 pemohonan 'Rumah Peduli' yang dijangka siap Jun depan," katanya.

Januari lalu, Adly mengumumkan untuk memberi perhatian kepada golongan miskin tegar menerusi projek Rumah Peduli yang akan dibangunkan sebelum pertengahan tahun ini.

Adly berkata, projek yang dirancangkan untuk membina sebanyak 60 unit rumah dengan berharga RM30,000 bagi setiap unit itu memberi keutamaan kepada golongan berkenaan yang memiliki tanah namun tidak berkemampuan untuk membina rumah dengan peruntukkan keseluruhan RM3 juta setahun.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia