Kerajaan fokus satu SOP am, sembilan garis panduan

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan memberi tumpuan kepada satu prosedur operasi standard (SOP) am bagi Covid-19 yang boleh berkuat kuasa melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta sembilan garis panduan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, SOP am itu adalah berkaitan langkah tetap bagi mengawal penularan seperti memakai pelitup muka, panduan pengudaraan, daftar masuk MySejahtera dan syarat lengkap vaksin.

Beliau berkata, sembilan garis panduan pula merangkumi aktiviti dalam pelbagai sektor.

“Garis panduan ini tidak boleh dikuatkuasakan tetapi menjadi tanggungjawab rakyat untuk memahami dan mengamalkannya dengan sebaik mungkin,” katanya pada sidang akhbar khas di Wisma Pertahanan di sini pada Isnin.

Hishammuddin berkata, SOP am dan garis panduan itu akan dimaklumkan kepada umum.

“Buat masa ini, kertas cadangan satu SOP am merangkumi sembilan garis panduan berkaitan Covid-19 telah siap dan akan dibentang kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

“Jika kertas cadangan itu dipersetujui jawatankuasa berkenaan, ia akan diumumkan maka perkara ini penting kerana kita membuat pelbagai kelonggaran SOP dan ia mesti dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata, usul itu adalah untuk memudahkan rakyat dalam memahami SOP sedia ada dengan harapan mereka berdisiplin dan mematuhi SOP baharu.

Artikel Berkaitan:

Hishammuddin berkata, beliau sebelum ini telah memaklumkan ingin mengurangkan SOP sedia ada kepada satu situasi mudah yang senang difahami orang ramai khususnya ketika negara menjurus ke fasa endemik.

Beliau berkata, rakyat perlu memainkan peranan bersama pihak berkuasa dengan mengelak daripada melakukan perkara yang boleh meningkatkan risiko jangkitan.

“Ini selari dengan fokus ketiga perancangan kerajaan dalam menuju fasa endemik iaitu pemerkasaan masyarakat,” katanya.

Hishammuddin berkata, dua lagi fokus ialah kawalan bersasar dan kesedaran terhadap virus.

“Saya ingin mengingatkan rakyat agar tidak bersikap sambil lewa dalam memanfaatkan kelonggaran yang diberikan,” katanya.

Pada September lepas, kerajaan memperkemaskan SOP berkaitan Covid-19 daripada 181 kepada 10 sahaja bagi memudahkan ia difahami rakyat, golongan industri dan pihak yang menjalankan penguatkuasaan. - Bernama