1,040 calon bakal bertanding pilihan raya umum Jepun

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida membubarkan Dewan Perwakilan pada hari Khamis untuk pilihan raya umum yang akan datang. Foto Xinhua
Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida membubarkan Dewan Perwakilan pada hari Khamis untuk pilihan raya umum yang akan datang. Foto Xinhua
A
A
A

TOKYO - Kira-kira 1,040 calon bakal bertanding dalam pilihan raya umum yang dijadualkan pada 31 Oktober untuk merebut 465 kerusi di Dewan Perwakilan Jepun, dengan kempen bermula pada Selasa, lapor Xinhua, memetik Kyodo News.

Pemimpin parti politik utama memulakan sesi debat pada Isnin petang di Tokyo dan topik utama yang mungkin difokuskan pengundi adalah tindak balas Covid-19 seperti dasar untuk memulihkan ekonomi domestik yang terjejas teruk akibat pandemik, lapor media tempatan.

Perdana Menteri Fumio Kishida, yang memenangi pemilihan presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) pada 29 September lepas, dijangka akan menumpukan 'bentuk kapitalisme baharu' untuk merealisasikan kitaran positif pertumbuhan ekonomi dan pengagihan semula kekayaan.

Ketua Parti Perlembagaan Demokratik Jepun (CDPJ), Yukio Edano, dijangka akan membidas idea Kishida yang bercadang mengkaji semula kadar cukai keuntungan modal, berkemungkinan untuk menaikkan kadar cukai.

Natsuo Yamaguchi dari Komeito, Kazuo Shii (Parti Komunis), Yuichiro Tamaki (Parti Demokratik untuk Rakyat), dan Ichiro Matsui (Parti Inovasi) akan turut serta dalam debat itu.

LDP dan sekutunya Komeito kini mempunyai 305 daripada 465 kerusi di dewan rakyat.

Menurut tinjauan Kyodo News yang dilakukan pada hujung minggu, LDP menerima sokongan 29.6 peratus responden, CDPJ (9.7 peratus) dan Komeito (4.7 peratus), manakala 39.4 peratus lagi responden masih belum pasti parti pilihan mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: