TNB, LADA jalin kerjasama kurangkan emisi karbon

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (empat dari kanan) selepas menyaksikan penyerahan replika surat niat oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Majlis Penyerahan Surat Niat Pelaksanaan Inisiatif Solar di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi pada Ahad.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (empat dari kanan) selepas menyaksikan penyerahan replika surat niat oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Majlis Penyerahan Surat Niat Pelaksanaan Inisiatif Solar di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat solusi tenaga hijaunya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) akan menjalin kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi mengurangkan emisi karbon mereka menerusi pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB sedia menyumbang kepakaran dalam bidang tenaga solar menerusi GSPARX bagi membantu LADA mencapai objektif mereka bagi mengurangkan emisi karbon dan menjana tenaga hijau.

“Bagi mencapai aspirasi kami untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa, TNB telah dan akan terus membangunkan keupayaan yang terbukti dalam bidang panel solar fotovoltaik,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), LADA telah menyatakan hasrat tersebut melalui penyerahan surat niat (Letter of Intent) dalam satu majlis yang diadakan di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung pada Ahad.

Langkawi Port Sdn Bhd (LPSB), anak syarikat LADA adalah operator Kompleks Dermaga Tanjung Lembung.

Penyerahan surat dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif LADA merangkap Pengerusi LPSB, Nasaruddin Abdul Muttalib kepada Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri yang disaksikan Menteri KeTSA, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Megat menambah, langkah LADA dan LPSB untuk menjana tenaga hijau bukan sahaja menyokong usaha kerajaan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas-GHG), malah turut mampu menjimatkan bil elektrik mereka.

“GSPARX dijangka memasang sistem solar PV berkapasiti 363kWp di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung.

Artikel Berkaitan:

“Bergantung kepada perjanjian, potensi penjimatan bil elektrik LPSB selepas pemasangan adalah antara RM87,000 hingga RM244,000 bagi tahun pertama dan antara RM5 juta hingga RM7.4 juta bagi tempoh 25 tahun,” katanya.

Jelas Megat, TNB sebagai syarikat utiliti elektrik negara turut menyokong usaha kerajaan dengan meletakkan aspirasi untuk mencapai pelepasan sifar bersih (Net Zero Carbon Emission) menjelang 2050 yang dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

“Hala tuju kelestarian TNB mendukung pelan kerajaan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (RE) dalam gabungan kapasiti penjanaan negara ke arah mencapai sasaran kapasiti terpasang RE sebanyak 31 peratus pada 2025,” katanya.

Menerusi kerjasama strategik dengan KeTSA, TNB telah menyiapkan projek solar di dua lokasi manakala pemasangan di tujuh lagi lokasi melibatkan bangunan jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan sekolah sedang disiapkan menjadikan jumlah kapasiti penjanaan tenaga hijau hampir 2.2 MWp.

Antara entiti yang telah dan bakal menjadi pengeluar swaguna (prosumer) menerusi kerjasama itu termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (100kWp) di Pulau Pinang; Majlis Bandaraya Subang Jaya (100kWp), Selangor; Agensi Nuklear Malaysia (460kWp), Selangor dan Kolej Tunku Kurshiah (314kWp), Negeri Sembilan.