Pekerja kontrak maut terkena 'flash fire'

Pegawai JKKP Perak menjalankan siasatan di bahagian 'Coal Pulverised Bin' pada Jumaat.
- Foto ihsan JKKP Perak
Pegawai JKKP Perak menjalankan siasatan di bahagian 'Coal Pulverised Bin' pada Jumaat. - Foto ihsan JKKP Perak
A
A
A

IPOH - Seorang pekerja kontrak maut manakala rakannya melecur akibat terkena 'flash fire' ketika melakukan kerja-kerja pembersihan habuk arang batu di sebuah kilang simen di Chemor di sini Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lelaki warga India berusia 45 tahun dan warga Bangladesh berusia 34 tahun mengalami melecur.

Bagaimanapun, mangsa warga India, Merugu Sathaiah disahkan meninggal dunia pada Jumaat ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Supian Alias berkata, sepasukan pegawai dihantar untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan tersebut.

"Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa merupakan pekerja kontrak yang sedang menjalankan kerja membersihkan habuk arang batu di bahagian 'Coal Pulverised Bin'.

"Semasa sedang membersihkan habuk di lantai platform menggunakan penyodok besi, telah berlaku 'flash fire' sehingga menyebabkan kedua-dua pekerja tersebut mengalami kecederaan melecur.

"Mereka dibawa ke hospital untuk rawatan, namun salah seorang daripada mangsa telah disahkan meninggal dunia pada jam 6.16 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, pihaknya telah mengeluarkan arahan larangan kacau ganggu di bahagian 'Coal Pulvarised Bin' sehingga arahan lanjut dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan dan majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dengan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja," katanya.

Kata Supian, kemalangan boleh dielakkan sekiranya melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko mengikut kaedah dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).