X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 catat jualan RM3.3 bilion

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
A
A

PUTRAJAYA - Ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang melumpuhkan hampir keseluruhan sektor ekonomi domestik, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) masih mampu mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan pada tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, KBBM 2020 telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM3.3 bilion dengan jumlah unit penyimpanan stok (SKU) yang terlibat melebihi 326,000 bagi sektor peruncitan, manakala portal dalam talian 'marketplace' pula mencatatkan nilai jualan melebihi RM145 juta.

Menurut Nanta, pada tahun 2019, kempen itu mencatatkan penjualan produk bernilai RM2.87 bilion yang melibatkan 279,000 SKU di sektor peruncitan serta penjualan bernilai RM6.84 juta menerusi pasaran dalam talian.

"KBBM memainkan peranan utama dalam memastikan ekonomi domestik terus kekal berdaya saing serta mampu mengharungi cabaran Covid-19," katanya ketika melancarkan 'My Gaya Month' anjuran Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) sempena KBBM 2021 secara dalam talian pada Isnin.

Nanta berkata, program 'My Gaya Month' itu bukan sahaja menyatukan pelbagai jenama fesyen tempatan bagi menaik taraf pasaran domestik untuk menembusi pasaran global, malah turut menyokong pelan kerajaan dalam menyemarakkan semula ekonomi.

"Diharap program ini dapat menggalakkan minat rakyat tempatan untuk membeli dan menyokong barangan fesyen dan gaya tempatan serta membuka mata pasaran global tentang kehebatan barangan Malaysia yang setanding dengan jenama antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Presiden MBDA, Rasta Rashid berkata, koleksi pereka fesyen dalam program 'My Gaya Month' yang akan berlangsung selama sebulan itu memberi tumpuan kepada penjualan secara dalam talian menerusi platform seperti Fashion Hub by MBDA, Shopee, Lazada, Aladdin1 dan Zalora.

Beliau berkata, program itu menyasarkan jualan RM500,000 dengan penampilan 30 pereka tempatan bersama koleksi terbaru yang direka khas bagi kempen tersebut yang berkisar tema untuk menyokong jenama mewah tempatan.

Rasta berkata, matlamat 'My Gaya Month' bukan sahaja mempromosikan barangan Malaysia menerusi produk fesyen, gaya hidup dan teknologi malah melahirkan usahawan baharu, merangsang ekonomi tempatan, mencipta peluang pertumbuhan dalam industri fesyen serta membentuk ekosistem yang berdaya tahan dari segi perwujudan peluang pekerjaan.

"Program ini akan menyorot kepelbagaian wawasan dan kreativiti pereka fesyen tempatan di Malaysia, di samping memberikan peluang kepada masyarakat untuk menghayati kecantikan dan keindahan yang lahir daripada industri fesyen tempatan," katanya.

Pengasas MBDA, Bon Zainal berkata, 'My Gaya Month' sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mengetengahkan serta membantu pereka dan penggiat seni tanah air untuk lebih berdaya saing serta lebih bersemangat untuk berkarya dan mengetengahkan kreativiti mereka di mata dunia.

Beliau berkata, inisiatif itu dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai barangan buatan Malaysia adalah berkualiti dan mampu bersaing dengan produk antarabangsa selain menerapkan semangat patriotik rakyat.

"Pasaran fesyen diharap kembali pulih menjelang pertengahan tahun depan dengan lebih ramai akan bergaya dan berdandan. Pengguna buat masa ini dilihat lebih fokus kepada barangan keperluan," kata pereka fesyen terkenal itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!