Penjara tidak lebih lima tahun antara pindaan kesalahan pencemaran air

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengkaji dan mencadangkan beberapa pindaan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (fasa satu) untuk dipertimbangkan.

Berdasarkan infografik yang dikongsi oleh Menteri KASA, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Facebooknya pada Isnin, antara cadangan pindaan fasa satu itu ialah mewujudkan hukuman mandatori penjara tidak melebihi lima tahun terutama bagi kesalahan pencemaran air dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Selain itu, cadangan berkenaan juga mewujudkan denda minimum tidak kurang RM5,000 dan denda maksimum tidak lebih RM10 juta.

“Insya-ALLAH, pindaan akan dibentangkan pada suku pertama 2022 di Parlimen tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.

“Doakan agar proses pindaan ini berjalan lancar demi untuk kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya di media sosial berkenaan.

Pindaan lain yang dicadangkan ialah melibatkan kenaikan kompaun daripada RM2,000 kepada tidak lebih 50 peratus daripada jumlah penalti maksimum yang diperuntukkan.

Bagi kesalahan dan peruntukan melibatkan standard pelepasan pula akan diperkukuhkan dengan mewujudkan peraturan khusus bagi membolehkan tindakan pendakwaan diambil.

Tuan Ibrahim menerusi kemaskini di Facebook itu juga berkata, pindaan dicadangkan selepas rakyat mendesak hukuman setimpal dikenakan terhadap penjenayah alam sekitar terutama melibatkan kes pencemaran sungai.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, beberapa kes pencemaran sungai dilaporkan oleh media antaranya seperti Sungai Kim Kim di Pasir Gudang dan sungai di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas di Johor Bahru.

Dalam kejadian pada 1 Ogos lalu, sebuah loji kumbahan berhampiran Sungai Kim Kim, didakwa menjadi punca utama menyebabkan air Sungai Kim Kim berubah warna kehitaman dan berbau busuk.

Pada 15 September pula dilaporkan sembilan individu yang dipercayai terbabit dalam insiden pembuangan bahan kimia di sungai di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas telah ditahan.

Penahanan sembilan suspek itu bagi membantu siasatan lanjut kes yang menyebabkan empat penduduk sesak nafas dan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan, manakala 102 lagi terpaksa dipindahkan.