Kerajaan jamin bantu pesawah padi wangi

Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (dua dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) tahun 2020 pada Isnin.
Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (dua dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) tahun 2020 pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan memberi jaminan masalah untuk memasarkan hasil tanaman yang dihadapi oleh pesawah padi wangi di Kelantan akan diselesaikan segera susulan kebenaran rentas negeri oleh pihak kerajaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pemasaran hasil tanaman yang didakwa merosot itu berlaku akibat kekangan pergerakan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Menurut beliau, situasi itu menyebabkan pesawah mengalami kerugian dan pihaknya akan membantu menyelesaikan perkara berkenaan.

“Padi wangi tidak boleh diproses dalam mesin yang sama dengan padi lain, jadi timbul masalah dan hasil padi di Kelantan kebiasaannya akan dibawa ke Kedah untuk pemprosesan.

“Baru-baru ini berlaku lambakan padi di Kedah akibat pandemik menyebabkan kerja-kerja tergendala sekejap. Keadaan akan beransur pulih apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan dan kita jamin akan pulih,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2020 Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Perkarangan Ibu Pejabat KADA di sini.

Artikel Berkaitan:

Dr Nik Muhammad Zawawi (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Mokhtar Zakaria pada Isnin.
Dr Nik Muhammad Zawawi (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Mokhtar Zakaria pada Isnin.

Sejumlah 69 penerima anugerah turut menerima Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional bernilai RM1,000 setiap seorang.

Hadir sama, pengerusi KADA Datuk Kamarudin Md Nor dan Pengurus Besar KADA Nik Roslan Idris.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, kerajaan menyasarkan monopoli eksport bekalan makan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Sehingga kini, peratusan import negara untuk makanan asas termasuk padi ialah sekitar 30 peratus manakala 20 peratus untuk eksport.

“Jadi, kita berhasrat meningkatkan jumlah eksport daripada import atau sekurang-kurangnya seimbang,” katanya.

Pada 7 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan lebih 200 pesawah padi wangi mendakwa kerugian hampir RM100,000 susulan masalah pemasaran hasil tanaman mereka yang semakin meruncing pada tahun ini.

Ahli Koperasi Padi Wangi Kelantan Berhad mengaku buntu selepas masalah itu timbul pada 2019 dan menjadi semakin ‘tenat’ sejak beberapa bulan lalu apabila jualan hasil tanaman berkenaan dikatakan terus merudum.