X

Kindly register in order to view this article
!

Seludup migran: Tiga lelaki didakwa

(Dua dari kiri) Rahmat, Hashim dan Ismail diiring polis di mahkamah.
A
A

SEREMBAN - Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas dakwaan jalankan aktiviti penyeludupan migran di Port Dickson Januari dan Februari lalu.

Hashim Munting, 59, yang bekerja sebagai pemandu teksi, Rahmat Umar, 56 dan Ismail Rahaman, 58, masing-masing tidak bekerja hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan itu.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibaca berasingan, Hashim dan Rahmat telah menjalankan aktiviti itu di Pantai Batu 4, Port Dickson pada 8 Februari 2019, pada jam 12.05 tengah hari dan 12.30 tengah hari.

Ismail pula dituduh menjalankan perbuatan itu bersama-sama seorang yang telah dituduh pada 19 Januari 2019, jam lebih kurang 1.30 petang di sebuah hotel di Hotel Pantai Ria di Jalan Batu 7 1/2 Teluk Kemang, Port Dickson.

Berikutan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 15 tahun, denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiza Harun tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan berkenaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang mana tiada jaminan dibenarkan.

Hashim diwakili peguam Nur Fatin Sakinah Kamaruddin manakala Rahmat dan Ismail diwakili Nurliyana Azis.

Mahkamah memutuskan tiada jaminan dibenarkan dan sebutan semula 5 April depan.