Lelaki tidak lengkap vaksinasi rentas negeri bawa daun ketum

Gambar kiri, 60kg daun ketum bernilai RM2,400 ditemui dalam but sebuah kereta yang dipandu suspek di Hentian R&R Behrang arah Selatan pada Ahad. Gambar kanan, polis Daerah Muallim merampas 60kg daun ketum yang dibawa suspek dari Kedah ke Selangor. - Foto ihsan PDRM
Gambar kiri, 60kg daun ketum bernilai RM2,400 ditemui dalam but sebuah kereta yang dipandu suspek di Hentian R&R Behrang arah Selatan pada Ahad. Gambar kanan, polis Daerah Muallim merampas 60kg daun ketum yang dibawa suspek dari Kedah ke Selangor. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

TANJUNG MALIM - Polis menahan seorang lelaki bersama kira-kira 60 kilogram daun ketum yang dipercayai dibawa dari Kedah ke Selangor dalam kejadian di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, arah selatan di sini pada Ahad.

Lelaki berusia 53 tahun itu turut didapati melakukan rentas negeri tanpa lengkap vaksinasi.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, suspek ditahan sepasukan anggota yang menjalankan pemantauan pematuhan Ops Covid-19, kira-kira jam 11 malam.

"Ketika kejadian, suspek berada dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Camry.

"Dalam pemeriksaan tersebut, polis menjumpai tujuh guni yang mengandungi daun ketum bernilai RM2,400," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, satu kompaun bernilai RM2,000 telah dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021 atas kesalahan rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap.

"Semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

"Suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sulizmie Affendy berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) selain memastikan diri telah lengkap vaksinasi sebelum membuat pergerakan rentas negeri.