Pas gesa kerajaan tutup syarikat pengeluar minuman keras

Tangkap layar berita Sinar Harian bertarikh 17 Oktober mengenai arak jenama Timah. (Gambar kecil, Mohd Nor)
Tangkap layar berita Sinar Harian bertarikh 17 Oktober mengenai arak jenama Timah. (Gambar kecil, Mohd Nor)
A
A
A

SHAH ALAM - Pas berharap kerajaan mengambil tindakan tegas dengan menutup syarikat pengeluar minuman keras di negara ini bagi mengelakkan duluan atau 'precedent' yang mendorong kemunculan syarikat pengeluar minuman keras baharu.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Mohd Nor Hamzah berkata, sebarang promosi dan penjualan minuman keras secara terbuka perlu dihentikan kerana dikhuatiri memberi impak negatif kepada masyarakat khususnya anak muda.

Beliau berkata, kerajaan harus memastikan iklan dan promosi minuman keras oleh mana-mana syarikat dipantau mengikut garis panduan larangan seperti termaktub dalam Bahagian 3, Kod Kandungan mengenai Iklan, Perenggan 8.5 (Iklan Khusus Lain) Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Kerajaan juga diharap dapat memperkemas pemantauan dan penguatkuasaan pihak berkuasa seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya perkara ini tidak berulang selepas ini.

“Selain itu, semakan latar belakang dan ketekunan wajar perlu dijalankan ke atas syarikat pengeluar minuman keras. Syarikat-syarikat ini seharusnya mengambil kira aspek sensitiviti agama dalam mempromosikan produk mereka walaupun Malaysia merupakan negara majmuk,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung isu arak jenama Timah yang didakwa merupakan produk keluaran tempatan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menafikan kerajaan mempunyai hubung kait dengan pengeluaran arak tersebut.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, Pas berharap kerajaan akan mengambil serius dan mengenakan tindakan sewajarnya seperti mana larangan Nabi Muhammad SAW yang melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak.

Artikel Berkaitan:

“Golongan tersebut termasuk yang memerah, meminta perah, minum, membawa, yang dibawa kepadanya, menuangkan arak, menjual, memakan hasil jualan arak, membeli dan yang dijual untuknya,” jelas beliau.